Oleh Nick Fletcher//
PADAWAN: Kementerian Pelancongan memperkenalkan program Pakej Hari Raya Korban di inap desa luar bandar sebagai produk berasaskan pelancongan di negeri ini.
Menterinya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata inisiatif tersebut akan melibatkan kerjasama antara agensi pelancongan dengan komuniti luar bandar.
“Melalui tawaran Pakej Hari Raya Korban, kita mahu menarik lebih ramai pelancong yang beragama Islam dari Semenanjung Malaysia dan Singapura untuk menjalankan ibadah korban di homestay (inap desa) luar bandar Sarawak.
“Usaha ini juga membantu komuniti kampung untuk meningkatkan jumlah pelawat dan seterusnya meningkatkan ekonomi mereka,” katanya pada Majlis Pelancaran Pakej Hari Raya Korban di Inap Desa Kampung Darul Islam Belimbing di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais, ADUN Tarat merangkap Timbalan Speaker DUN Datuk Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Datu Ik Pahon Joyik dan Ketua Kampung Darul Islam Belimbing Hussein Banyak.
Bagi permulaan, Abang Johari berkata Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan Konsortium Pelancongan Bumiputera Sarawak (SBTC) telah berhubung dengan agensi pelancongan di Singapura untuk memasarkan pakej ini.
Sehubungan itu, beliau berharap SBTC akan memperbanyakkan Pakej Hari Raya Korban dengan komuniti inap desa di luar bandar untuk meningkatkan lagi penyertaan mereka dalam arus pembangunan pelancongan.
“Menerusi program seperti ini, agensi pelancongan dapat membantu komuniti inap desa membangunkan produk pelancongan baharu dan secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan dan membantu meningkatkan sosioekonomi komuniti,” katanya.
Sementara itu, Kampung Darul Islam Belimbing telah dipilih untuk pelancaran Pakej Hari Raya Korban Sarawak berdasarkan komitmen komuniti mereka mempromosikan pelancongan melalui pakej inap desa dengan keunikan komuniti berbangsa Bidayuh namun rata-ratanya beragama Islam.
Menurut Hussein, pakej pelancongan yang ada di Inap Desa Kampung Darul Islam Belimbing adalah dengan mengamalkan budaya kaum Bidayuh dan membuat kraf tangan menganyam bakul serta menenun keringkam.
Selain itu, katanya mereka turut menawarkan pakej berasaskan alam semula jadi dengan terdapatnya bunga raflesia, sungai serta aktiviti pertanian seperti menoreh pokok getah, kebun lada dan sawah padi.