Sunday, June 20

Penduduk bergotong-royong melaksanakan ibadah korban

0

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud//

 

UNTUK DIAGIH: Kerja-kerja menimbang dan membungkus daging korban dilakukan.

UNTUK DIAGIH: Kerja-kerja menimbang dan membungkus daging korban dilakukan.

BINTULU: Penyembelihan sembilan ekor lembu dalam Program Ibadah Korban dan Akikah di pekarangan Masjid Al-Mustaqim Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Kidurong diadakan secara bergotong-royong oleh penduduk di perumahan tersebut semalam.

Ketua Kaum RPR Kidurong Ibrahim Edeni berkata, sembilan ekor lembu untuk program itu merangkumi empat ekor lembu untuk ibadah korban, dua ekor lembu akikah daripada penduduk Islam setempat, seekor lembu korban sumbangan Urus Setia Saudara Kita dan dua ekor lembu lagi sumbangan Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing telah diterima oleh pihaknya.

Beliau berkata setiap tahun pihaknya mengadakan program seumpamanya yang disertai penduduk secara bergotong-royong.

“Hari ini kerja-kerja penyembelihan lembu-lembu tersebut telah dilakukan oleh Imam Madaha Mohd Sunik sekitar jam 10 pagi di pekarangan Masjid Al-Mustaqim RPR Kidurong,” ujarnya semasa ditemui semalam.

“Manakala kerja-kerja melapah daging lembu telah dibantu oleh ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) RPR Kidurong, ahli Jawatankuasa Masjid Al-Mustaqim dan penduduk di sekitar masjid,” tambahnya.

Beliau berkata kira-kira 50 orang terlibat dalam kerja-kerja tersebut dan selesai sekitar jam 3 petang semalam.

Katanya kupon untuk pengambilan daging korban telah diagih-agihkan dari rumah ke rumah kepada penduduk Islam di RPR Kidurong (Fasa 1,2,3 dan 4) bagi membolehkan mereka mengambil daging korban tersebut sekitar jam 3 petang semalam.

“Sebahagian lembu akikah dan korban itu akan dimasak untuk hidangan majlis tahlil malam ini (majlis kesyukuran dan doa selamat ibadah korban dan akikah) di Masjid Al-Mustaqim,” ujarnya.

Jelasnya, majlis tahlil itu diharap akan mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk Islam di RPR Kidurong dan saya berterima kasih kepada semua penduduk yang mengambil bahagian dalam ibadah korban dan akikah terutama Datuk Seri Tiong King Sing yang turut menyumbang dua ekor lembu kepada penduduk Islam di RPR Kidurong.

“Terima kasih juga kepada penduduk yang terlibat dalam kerja-kerja gotong-royong melapah daging lembu terbabit,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Al-Mustaqim Abu Bakar Ashe’ari Bujang turut berterima kasih kepada penduduk Islam yang terlibat secara langsung dalam ibadah korban dan akikah itu pada setiap tahun yang merupakan satu amal jariah.

Terdahulu, Masjid Al-Mustaqim turut mengadakan takbir Hari Raya pada jam 6.30 pagi semalam iaitu selepas solat fardhu Subuh, diikuti solat sunat Hari Raya Aidiladha pada jam 8 pagi hingga 8.15 pagi, bacaan khutbah Hari Raya Aidiladha, majlis bacaan doa selamat dan tahlil arwah serta jamuan makan.

Takbir Hari Raya selama tiga hari bermula selepas solat fardhu Maghrib sehingga waktu solat fardhu Asar pada hari ketiga akan diadakan oleh pihak masjid terbabit.