KUCHING: SMK Sungai Tapang mempertahankan kejuaraan pada Pertandingan Wushu Antara Sekolah Bahagian Kuching edisi kedua di Dewan Alumni SJK Chung Hua No.3 kelmarin.
Skuad seramai 17 peserta diketuai Bong Ko Hung itu mengumpul 78 mata menewaskan sembilan pencabar sekolah lain pada kejohanan sehari anjuran Kelab Wushu Bandar Kuching.
Sekolah Swasta St Joseph mengumpul 70 mata berada di tempat kedua disusuli SMK Kuching High (57) dan SMK DPHA Gapor Stampin (14) tempat ketiga dan keempat.
Sekolah lain turut menghantar penyertaan ialah Chung Hua Middle School No. 1, SMK Bandar Kuching No. 1, SMK Batu Kawa, SMK Green Road, SMK Kuching Town dan SMK Sungai Maong. Dalam kategori sekolah rendah, SJK Chung Hua No. 4 muncul juara keseluruhan selepas 21 atlet mereka berjaya menyumbang 92 mata.
Naib juara dimenangi SJK Chung Hua No. 2 dengan 89 mata manakala SJK Chung Hua No. 3 (83) dan SJK Sam Hup Hin (49) masing menduduki tempat ketiga dan keempat.
Pasukan lain turut serta dalam kategori tersebut SJK Batu Kawa, SJK Bintawa, SJK Chung Hua No. 1, SJK Chung Hua No. 4, SJK Chung Hua No. 5, SJK Chung Hua No. 6, SJK Sungai Tapang, SJK Pending, SK Kenyalang, SK Song Kheng Hai dan SK Lumba Kuda.
Kategori prasekolah menyaksikan penyertaan seramai enam kanak-kanak dari Sunrise Kiddy house, KBS Tadika Bodhi, Q-Dees Kindergarten dan Little Learner.
Objektif utama pertandingan tersebut adalah untuk mencungkil bakat-bakat baharu untuk diserapkan dalam program pembangunan Persekutuan Wushu Sarawak (WFS).
Selain itu, ia juga bertujuan memilih pelatih terbaik mewakili Kuching pada Kejohanan Wushu Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi.
Pertandingan tersebut mendapat sokongan dan kerjasama WFS dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS).
Pengerusi Lembaga Pengurusan Chung Hua Primary Schools No.1-6 Kuching, Wong Tiong Hock menyempurnakan pembukaan pertandingan serta menyampaikan trofi dan pingat kepada pemenang.
Turut hadir Pengerusi Penganjur, Ho It Chin, Timbalan Presiden WFS, James Ting dan Timbalan Presiden Kelab Wushu Bandar Kuching, Ling Ung Hee yang juga jurulatih Pusat Kecemerlangan Wushu Kuching.
Seramai 112 peserta dari 12 pasukan termasuk wakil kebangsaan bakal berentap merebut kejuaraan pada Kejohanan Wushu Kebangsaan ke- 25 diadakan di Dewan Alumni SJK Chung Hua No. 3 dari 25 hingga 27 September ini.
Kejohanan anjuran bersama WFS dan MSNS tersebut menjadi pentas pra-SUKMA bagi menilai keupayaan dan prestasi semasa atlet-atlet negeri.
Ini kali kedua Sarawak menjadi tuan rumah kejohanan kebangsaan tersebut selepas Kejohanan Remaja Kebangsaan diadakan pada 2005.
