
DITAHAN: Seorang daripada tiga individu yang ditahan polis susulan kononnya wujud ancaman pengganas di lokasi tertentu di ibu kota malam semalam. — Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga individu susulan kononnya wujud ancaman pengganas di lokasi tertentu di ibu negara.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata mereka terdiri daripada seorang warga tempatan serta warga Indonesia dan Syria.
Noor Rashid berkata kesemua mereka ditahan untuk membantu siasatan.
“Bukit Aman menghubungi pihak kedutaan Amerika Syarikat dan Australia mengenai tahap keselamatan di lokasi tertentu yang dikaitkan dengan kemungkinan berlaku serangan pengganas,” katanya kepada Bernama di sini.
Kelmarin, kedutaan Amerika Syarikat dan Suruhanjaya Tinggi Australia di sini dilapor telah mengeluarkan nasihat perjalanan tentang kemungkinan berlaku serangan pengganas di Jalan Alor dekat Bukit Bintang dan kawasan sekitarnya.
Noor Rashid menegaskan situasi keselamatan adalah terkawal dan orang ramai tidak perlu bimbang tentang keselamatan mereka.
“Saya telah mengarahkan anggota saya bertugas di lokasi berkenaan dan memantau sekiranya ada aktiviti mencurigakan,” kata Noor Rashid.
Sementara itu, Noor Rashid dalam satu kenyataan semalam berkata tangkapan itu merupakan tindakan berterusan hasil maklumat yang diperoleh daripada suspek yang telah ditahan sebelum ini.
Siasatan terhadap mereka mendedahkan wujud perancangan untuk melancarkan serangan ke atas aset berkepentingan negara, kepentingan barat dan kawasan tumpuan awam.
“Mereka yang ditahan berusia 30 hingga 51 tahun terdiri daripada dua warga asing dan seorang rakyat tempatan. Salah seorang daripada warga asing itu didapati kerap melakukan lawatan ke Yemen dan dikesan masuk ke Malaysia beberapa hari lalu.
“Siasatan masih diteruskan untuk mengesahkan sama ada ketiga-tiga suspek terlibat dalam perancangan melancarkan serangan di Malaysia,” katanya.
Pemantauan berterusan dilakukan Polis Diraja Malaysia selaras dengan perkembangan semasa bagi memastikan keselamatan dan kepentingan negara terpelihara.
Ini termasuk meningkatkan kawalan keselamatan di tempat strategik dan juga kawasan tumpuan awam.
“Kesemua suspek ditangkap mengikut Bab VIA-Kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747).
“Sementara itu, nasihat perjalanan yang dikeluarkan beberapa kedutaan asing di Kuala Lumpur adalah bertujuan menjamin keselamatan rakyat mereka semasa berada di negara asing. Ini adalah satu amalan universal yang dipraktikkan setiap negara demi keselamatan rakyat di mana jua mereka berada,” katanya. — Bernama