Sunday, June 20

Hindari persepsi negatif daripada minda masyarakat

0

Oleh Saleman Senin //

JALUR GEMILANG: Helmi menyerahkan Jalur Gemilang kepada  Friday sejurus rombongan tiba pada persinggahan di Betong.

JALUR GEMILANG: Helmi menyerahkan Jalur Gemilang kepada
Friday sejurus rombongan tiba pada persinggahan di Betong.

HINDARI persepsi negatif daripada minda masing-masing untuk kita bebas dibelenggu penjajahan secara halus oleh musuh-musuh yang ingin memecah belah perpaduan rakyat.

Pegawai Daerah Betong Friday Belik berkata masyarakat berasakan kedudukan mereka berada dalam zon selesa dan bebas melakukan apa sahaja sehingga leka menghayati semangat patriotik.

“Kita lihat dengan ancaman dan pengaruh budaya luar yang tidak beretika menyusup masuk dalam jiwa tanpa disedari.

“Malah, media sosial menjadi pilihan mereka bersuara tanpa batasan dan ada juga mengkritik dan meluahkan rasa tidak puas hati secara terang-terangan,” katanya pada Program Kembara Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sarawak 2015 anjuran Jabatan Penerangan Negeri Sarawak yang tiba di Betong baru-baru ini.

Jelas beliau, perkembangan teknologi maklumat menular dalam kehidupan masyarakat hari ini turut menjadikan media sosial sebagai keperluan dan menjadi ancaman apabila penggunaan tidak beretika serta kurang bertanggungjawab.

Justeru itu, daya pemikiran positif serta semangat nasionalisme masyarakat dapat membendung amalan menjadi benteng terakhir mempertahan negara daripada ancaman musuh akibat kecaman teknologi maklumat keterlaluan.

Tambah beliau, adalah menjadi tanggungjawab generasi hari ini bersama-sama mengenang dan menghayati erti kemerdekaan.

“Tugas kita menimba pengetahuan agar semangat patriotisme dan rasa cinta kepada bangsa dan negara terus subur.”

“Sikap menghormati sesama individu dan kaum lain perlu diamalkan agar keharmonian terus dikecapi dan semangat kemerdekaan kita miliki dapat dipertahankan,” ujarnya.

Sementara itu, rombongan Kembara Jalur Gemilang disambut dalam perjalanan dari Sarikei sebelum singgah di Saratok dan bermalam di Betong dengan sebanyak 10 buah kenderaan dan 30 buah motosikal berkuasa tinggi membawa Jalur Gemilang sebelum enam buah kenderaan tetap meneruskan perjalanan ke Lubok Antu dan Sri Aman keesokannya.

Dalam pada itu, kontinjen Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Augustine Betong menerima Anugerah Khas Kontinjen Terbaik sempena perarakan tersebut yang mengenakan pakaian tradisi semua kaum di negara ini.

Sebanyak 21 kontinjen merangkumi agensi kerajaan, swasta serta badan beruniform dan NGO menyertai perarakan Kembara Jalur Gemilang 2015 meliputi seramai 400 peserta.

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan Sarawak selaku ketua konvoi Helmi Hamid, Pegawai Penerangan Sri Aman/Betong Frida Mathew Manggi, Pegawai Penerangan Daerah Azuel Abdullah dan Pegawai JASA Betong, Tony Malang.

TURUT SERTA: Antara kontinjen menyertai perarakan Kembara Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sarawak di Betong.

TURUT SERTA: Antara kontinjen menyertai perarakan Kembara Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sarawak di Betong.