UPP Pujut menentang perarakan perkauman

0

MIRI: Parti Rakyat Bersatu (UPP) Cawangan Pujut menentang penganjuran perarakan atau perhimpunan awam yang menjurus ke arah ketegangan dan meniup api perkauman di kalangan rakyat.

Pengerusinya Kaunselor Bruce Chai berkata aktiviti sedemikian tidak wajar dianjurkan di sebuah negara majmuk dan dikhuatiri melemahkan perpaduan kaum.

“Cawangan UPP Pujut dan ahli-jhli jawatankuasa bersetuju kami tidak menyokong perarakan awam bertujuan menegangkan isu perkauman kerana ia akan melemahkan toleransi dan keharmonian kaum,” katanya kepada media selepas mesyuarat jawatankuasa UPP Pujut semalam.

Menurut Bruce dalam konteks negeri Sarawak, persefahaman dan perpaduan kaum amat penting dan harus dikekalkan demi kebaikan pelbagai kaum dan etnik berbeza agama, latar belakang dan kepercayaan.

Isu berkenaan antara empat resolusi bakal dibentangkan oleh UPP Pujut pada Mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CWC) hujung bulan ini.

Resolusi pertama UPP Pujut ialah menyokong cadangan Pengerusi UPP Piasau dan Ketua UPP Bahagian Utara Sarawak Datuk Hii King Chiong mencalonkan Bruce bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Kedua, cawangan dan AJK UPP Pujut menyokong kuat pencalonan Bruce sebagai ‘calon boleh menang’ untuk menawan kerusi DUN Pujut.

“Kami juga menyokong kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan menyeru beliau terus diberi mandat lima tahun lagi pada PRN nanti,” jelasnya.

Bruce berkata kepimpinan Adenan diperlukan untuk memastikan kuasa autonomi atau hak rakyat Sarawak terus dipelihara.