Sunday, June 20

Parti berideologi Semenanjung M’sia tidak dibenar bertapak di Sarawak: Dr Rayong

0

ENGKILILI: Kerajaan tidak berhasrat membenarkan parti berideologi Semenanjung Malaysia seperti UMNO bertapak di negeri ini memandangkan kerajaan sedia ada kekal kukuh memimpin Sarawak.

Kenyataan tersebut turut merujuk kepada parti berpangkalan di Semenanjung Malaysia seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) serta parti baharu Parti Amanah Rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa berkata hanya parti wujud dan berpangkalan di negeri ini sahaja memahami aspirasi dan keperluan rakyat berbanding parti luar.

Menurutnya, kerajaan juga tidak berhasrat membenarkan pelaksanaan hudud kerana tidak sesuai diamalkan di negeri ini.

“Sehubungan itu, tiada pihak boleh memainkan kedua-dua isu itu memandangkan ia sudah dijelaskan berulang kali.

“Kita bukan anti-orang Semenanjung (Malaysia), tetapi parti ekstremis dan fanatik kepada sesuatu perkara tidak dialu-alukan di negeri ini yang terkenal dengan semangat perpaduan dan toleransinya tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya sempena ‘Mobile Community Outreach Programme’ di Rumah Jabu Chaong, Ng Tebat, Skrang di sini semalam.

Beliau berharap rakyat khususnya pengundi tidak mensia-siakan sokongan dan undi mereka kepada parti luar itu kerana rakyat Sarawak sudah mempunyai parti tempatan ditunjangi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bersama rakan komponen Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) selain dua parti baharu mesra BN iaitu TERAS dan Parti Rakyat Bersatu (UPP).

“Ketika ini mereka (parti dari Semenanjung Malaysia) semakin galak berkempen terutama di kawasan luar bandar kononnya kerajaan sedia ada zalim dan tidak prihatin dengan nasib rakyat… itu semua tidak benar dan bertujuan mengelirukan rakyat sahaja,” ujarnya.

Beliau menambah, kerajaan sedia ada sama ada di peringkat negeri atau pusat banyak membantu dan sentiasa bersama rakyat pada waktu rakyat senang dan susah.

“Lihat apa sumbangan mereka kepada negeri ini…sememangnya tiada, sebaliknya mereka hanya bercakap kosong untuk memerangkap pengundi,” katanya.

Mengenai 1MDB, satu isu yang kerap dimainkan pembangkang, Dr Rayong berkata ia jelas satu mainan dan pembohongan pakatan.

“Motifnya hanya satu iaitu memburuk-burukkan selain cuba menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang dipilih rakyat secara demokrasi.

“Nampaknya pembangkang lebih suka isu ini diputarbelitkan sekalipun sudah banyak penjelasan diberikan… seolah-olah mereka hanya berminat dengan kontroversi berbanding penjelasan daripada pihak relevan selain bersama kerajaan mencari jalan keluar daripada kemelut ekonomi,” jelasnya.

Bagi pakatan pembangkang apa sahaja usaha murni kerajaan tidak memberi manfaat kepada rakyat, malah dituduh satu pembaziran namun mereka tidak pun memberi idea bagaimana mahu menolong rakyat daripada kaca mata mereka.

“Politik hipokrit pembangkang harus ditolak ke tepi dan tiada tempat di negeri ini.

“Rakyat terutama di luar bandar masih memerlukan kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana hanya BN sahaja mampu membela nasib rakyat,” katanya dan mahu pengundi menunjukkan jalan keluar kepada parti dari Semenanjung Malaysia itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Sehubungan itu, beliau mengajak pengundi agar sekali lagi memberi peluang kepada BN berkuasa untuk penggal seterusnya.

“Jangan tewas kepada mainan politik parti dari Semenanjung Malaysia itu kerana mereka hanya berminat kepada undi kita dan yang ikhlas membantu kita dari dahulu hingga kini dan selamanya ialah BN yang berteraskan parti anak tempatan.

“Bagi konstituensi Engkilili, saya masih kekal calon BN dan tiada siapa harus meraguinya.

“Mari bersama saya mempertahan DUN ini dan menghadiahkan kemenangan lebih besar kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang cukup serius membangunkan luar bandar.

“Berilah mandat lebih besar kepada beliau kerana dengan mandat tersebut menjadikan suara kita semakin kuat didengari pihak persekutuan”, katanya sambil memberitahu bahawa Adenan sudah membuat permohonan agar Sarawak diberi peruntukan tambahan RM500 juta untuk menyediakan prasarana luar bandar seperti jalan raya, bekalan air terawat dan Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB),” ujarnya.

Dr Rayong berkata, ketua-ketua masyarakat seperti penghulu, kaunselor dan tuai rumah harus memainkan peranan menyampaikan setiap dasar kerajaan kepada anak-anak buah mereka memandangkan bukan semua dapat hadir ke program seperti ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Residen Joseph Liau, Setiausaha Majlis Daerah Lubok Antu Bilong Engkas, wakil Jabatan Pertanian Julius Intai Biju, wakil bomba Vincent Baling, pegawai JASA Edwin Ancheh, penghulu, kaunselor dan tuai rumah.

Pada majlis sama, Dr Rayong turut menyampaikan geran MRP kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berjumlah RM10,000 manakala RM200,000 lagi untuk kerja-kerja menyimen persekitaran rumah panjang tersebut.