Awang Mahyan terima pingat JSM daripada Agong

0

KUCHING: Presiden Persatuan Kriket Sarawak (SCA), Awang Mahyan Awang Mohamad menerima Darjah Johan Setia Mahkota (JSM) daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara kelmarin.

Ikon sukan Sarawak itu dikurnia anugerah tersebut sebagai menghargai sumbangan beliau dalam memartabatkan sukan kriket di negeri ini.

“Syukur dan terima kasih kepada pihak Istana Negara di atas penganugerahan yang cukup istimewa ini.

“Setinggi penghargaan juga saya tujukan kepada Presiden Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid kerana mencadangkan nama saya sebagai penerima anugerah.

“Saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada Exco SCA yang telah bekerjasama dengan penuh komited bersama dengan saya selama ini untuk memajukan sukan kriket di Sarawak,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Awang Mahyan, anugerah tersebut akan menjadi pemangkin kepada beliau untuk terus berusaha membawa sukan kriket di Sarawak ke satu tahap yang lebih tinggi dan membanggakan pada masa akan datang.

Pada masa sama, beliau menyeru Exco SCA untuk terus berjuang bersama dengan beliau untuk meningkatkan lagi mutu kriket di negeri ini.

Selain kriket, Awang Mahyan turut bergiat aktif dalam sukan boling padang di mana beliau masih menyandang jawatan Presiden Persatuan Boling Padang Sarawak (SALBA).