Kuasai TVET untuk penuhi 1.6 juta peluang pekerjaan

0
TAHNIAH: Nancy (tengah) menyampaikan sijil dan hadiah kepada penerima Anugerah Tokoh Aspuri 2015 SMTS Nurul Shafika Dainis (kanan) pada Majlis Hari Anugerah Kualiti 2015 Sekolah Menengah Teknik Sejingkat (SMTS), di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak, di Kuching semalam.

TAHNIAH: Nancy (tengah) menyampaikan sijil dan hadiah kepada penerima Anugerah Tokoh Aspuri 2015 SMTS Nurul Shafika Dainis (kanan) pada Majlis Hari Anugerah Kualiti 2015 Sekolah Menengah Teknik Sejingkat (SMTS), di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak, di Kuching semalam.

Pelbagai agenda transformasi sistem pendidikan negara

Oleh Siti Aisyah Ramli //

KUCHING: Pelajar jurusan teknikal dan vokasional di negeri ini disaran melengkap diri dengan ilmu kemahiran memenuhi keperluan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) serta Pelan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri memberitahu, pelbagai agenda mentransformasi sistem pendidikan negara direncana termasuk meletakkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam arus perdana.

“Kerajaan menyasarkan untuk meningkat 2.5 kali ganda keseluruhan enrolmen kepada 650,000 pelajar yang mengambil jurusan teknikal dan vokasional menjelang 2025.

“Peningkatan itu disifat penting memenuhi kira-kira 1.5 juta pekerjaan baharu diwujud menerusi RMK11.

“Ini kerana ia memerlukan sekurang-kurangnya 60 peratus pelajar mempunyai kelayakan TVET serta 1.6 juta peluang pekerjaan menerusi SCORE,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Hari Anugerah Kualiti 2015 Sekolah Menengah Teknik Sejingkat (SMTS), di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak, di sini semalam.

Jelasnya, pelajar harus bersedia melengkap diri mereka dengan kemahiran merebut peluang pekerjaan sedia ada.

Katanya, sumber tenaga diperlu untuk RMK11 dan SCORE bukan sahaja pelajar berilmu tetapi berkemahiran tinggi, mempunyai mentaliti kelas pertama serta berkualiti.

Menurut Nancy, peluang kemasukan ke sekolah teknik dan vokasional harus dimanfaatkan sebaiknya sejajar dengan usaha menjadi modal insan yang setanding dengan negara maju yang lain.

“Ketika ini, kumpulan pekerja berkemahiran di Malaysia hanyalah sekitar 29 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja.

“Ia lebih rendah berbanding sasaran iaitu 33 peratus menjelang 2015 dan 50 peratus menjelang 2020,” katanya.

Jelasnya, sedangkan negara kita memerlukan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi dalam memastikan kelestarian kemajuan negara sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi selepas 2020.

“Daripada kita mengambil pekerja berkemahiran dari luar negara, lebih baik kiranya kita melatih orang kita sendiri,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Pengetua SMTS Ng Fook Yin berkata, sekolah itu telah mencapai keputusan cemerlang yang konsisten, termasuk mencapai 100 peratus lulus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

“Pelbagai aktiviti dilakukan yang menyasar peningkatan mutu kemahiran pelajar seperti penganjuran bengkel dan latihan kepada para guru.

“Selain itu. kami juga memberi galakan penuh kepada pelajar untuk mengikuti aktiviti kokurikulum bertujuan menyeimbangkan kehidupan persekolahan mereka,” katanya.

Hari Anugerah Kualiti 2015 anjuran SMTS diadakan setiap tahun bagi memberi penganugerahan di atas kejayaan dan kecemerlangan dalam peperiksaan yang ditunjukkan oleh pelajar tingkatan lima dan tingkatan enam sekolah itu.

Dianggarkan, kira-kira 200 pelajar tingkatan lima dan tingkatan enam SMTS menerima sijil dan anugerah pada majlis itu yang turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Abang Mat Ali Abang Masagus.