Pejabat Daerah Long Lama pemangkin pembangunan

0

Dennis mengakui ia bakal mempercepat proses pembangunan dari segi perkhidmatan dan pengurusan

Oleh Mohd Achil Norrlatep //

LONG LAMA: Pejabat Daerah Long Lama menjadi pengubah kehidupan lebih positif bagi penduduk Telang Usan dan Orang Ulu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau mengakui ia bakal mempercepat proses pembangunan dari segi perkhidmatan dan pengurusan.

“Ini merupakan salah satu daripada janji kerajaan membantu penduduk pedalaman daripada aspek perkhidmatan dengan pembukaan pejabat daerah baharu,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Tugas kepada Pagawai Daerah Long Lama Emang Oyong Emang di sini semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau, Residen Bahagian Miri Antonio Kahti Galis, Timbalan Residen Miri Abdul Aziz Yusof dan Pegawai Daerah Marudi Markos Sibong.

Turut hadir para ketua masyarakat Baram iaitu Temenggung Elizabeth Deng, Temenggung Joseph Ngau Lian, Penghulu Juwin Lihan dan Penghulu Desmond Yap.

Menurut Dennis, pejabat baharu itu akan lebih menyenangkan serta lebih dekat dengan masyarakat di Long Lama yang sebelumnya terpaksa ke Marudi.

“Visi dan tujuan saya adalah supaya penduduk Telang Usan dapat menikmati perkhidmatan tanpa sebarang halangan,” jelasnya.

Dennis turut berkata perubahan di kawasan Telang Usan adalah berpunca daripada kekuatan dan kestabilan tampuk pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa menjaga kebajikan rakyat termasuk di kawasan luar bandar.

Beliau turut berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang mempunyai kepimpinan hebat di peringkat pemerintahan negeri.

Semua itu juga datang daripada kesungguhan Adenan untuk mengubah kawasan luar bandar serta pedalaman dan tidak ketinggalan Orang Ulu.

Anyi dalam ucapannya memberitahu bahawa transformasi kerajaan adalah untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada penduduk seperti yang dijanjikan.

“Ini adalah hadiah kerajaan BN kepada penduduk Baram yang sekarang menjadi realiti,” katanya.

Sebelum ini, Telang Usan dan Beluru di bawah pentadbiran daerah Marudi.

Daerah Telang Usan mempunyai keluasan 9,829 kilometer persegi dengan 103 kampung dan mempunyai lebih 31,000 penduduk.