Projek BEACON tarik penyu bertelur di SNP

0

KUCHING: Projek BEACON yang dilaksanakan oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) dengan kerjasama Kumpulan Syarikat MLNG dua tahun lepas di Taman Negara Similajau (SNP) berjaya mencapai objektifnya.

Buktinya apabila 128 telur penyu direkodkan dalam sarang di Turtle Beach 2 oleh Warden Taman Alexander Thomas dan pasukannya ketika kajian rutin pantai di SNP Sabtu lepas.

Menurut kenyataan daripada SFC, kali terakhir penyu bertelur di SNP adalah pada 28 Julai 2010 iaitu lebih daripada lima tahun lalu.

“Kepulangan penyu di SNP adalah kejayaan bermakna Projek BEACON dua tahun lalu,” kata Pengurus Wilayah SFC Bintulu Nizam Kaderi.

“Di bawah BEACON (Biodiverisiti, Alam Sekitar dan Pemuliharaan), kami berharap untuk melindungi hidupan liar marin terutama penyu,” katanya.

Dalam pada itu Timbalan Pengurus Besar SFC Oswald Braken Tisen berkata SNP merupakan salah satu daripada lokasi penetasan  bagi penyu di Sarawak.

Malangnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bilangan sarang penetasan telah berkurangan disebabkan aktiviti manusia serta bahaya yang lain.

Projek BEACON yang dilaksanakan merupakan sebahagian daripada projek tanggungjawab sosial korporat (SCR) MLNG dengan kerjasama SFC melibatkan pelaburan bernilai RM8 juta.