83% perkhidmatan kerajaan dalam talian setakat Jun

0

Kerajaan komited tingkat perkhidmatan dalam talian: KSN

TAHNIAH: Ali menyerahkan hadiah utama RM10,000 kepada Kumpulan Solar, Leong Yok Tien (dua kiri) dan Ng Kok Wan (dua kanan) bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal (kanan) pada  Forum dan Wadah Perkhidmatan Digital Kerajaan 2015 di Kementerian Wilayah Persekutuan, semalam. — Gambar Bernama

TAHNIAH: Ali menyerahkan hadiah utama RM10,000 kepada Kumpulan Solar, Leong Yok Tien (dua kiri) dan Ng Kok Wan (dua kanan) bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal (kanan) pada Forum dan Wadah Perkhidmatan Digital Kerajaan 2015 di Kementerian Wilayah Persekutuan, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Sebanyak 83 peratus atau 11,171 dari 13,396 perkhidmatan kerajaan disediakan dalam talian setakat Jun tahun ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata Malaysia telah muncul sebagai pendahulu ekonomi digital kalangan negara-negara membangun dan Kajian E-Kerajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu meletakkan Malaysia pada kedudukan keempat untuk Indeks Perkhidmatan dalam Talian (kumpulan pendapatan pertengahan).

“Dalam usaha kita ke arah perkhidmatan awam cemerlang dengan rakyat sebagai teras, kerajaan komited meningkatkan perkhidmatan dalam talian dan tahap kecekapan,” katanya pada Forum dan Wadah Perkhidmatan Digital Kerajaan 2015 di sini, semalam.

Hadir sama pada forum dan wadah berjudul Internet of Things (IoT) for Smart Service Delivery ialah Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Datuk Seri Zainal Rahim Seman dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Ali berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 Malaysia menyasarkan untuk berada dalam kelompok 15 tertinggi dalam subindeks Perkhidmatan Dalam Talian bagi Indeks Pembangunan e-Kerajaan PBB dan kedudukan 10 tertinggi subindeks Kecekapan Kerajaan bagi Buku Tahunan Daya Saing Dunia.

Sehubungan itu bagi mencapai sasaran yang ditetapkan, Ali berkata kerajaan akan memperkenalkan beberapa perubahan transformatif yang memberi tumpuan kepada lima bidang utama.

Beliau menjelaskan bidang tersebut ialah meningkatkan penyampaian khidmat di pusat, rasionalisasi institusi sektor awam untuk produktiviti dan persembahan, pengukuhan bakat pengurusan untuk perkhidmatan awam pada masa depan, peningkatan pengurusan projek dan menyediakan dana kepada pihak berkuasa tempatan untuk perkhidmatan berkualiti di peringkat tempatan.

Ali berkata peranan MAMPU pula akan diperkukuhkan bagi menerajui pelaksanaan inisiatif digital bagi mencapai sasaran yang sudah ditetapkan.

Mengenai Iot beliau berkata kerajaan telah memberi mandat kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk membangunkan Hala Tuju Strategik IoT Kebangsaan sebagai sumber baharu pertumbuhan bagi merangsang Ekonomi Digital Malaysia.

Beliau berkata Malaysia memiliki persekitaran yang baik dan mempunyai asas yang kuat bagi memajukan IoT dalam pasaran tempatan berikutan penembusan telefon mudah alih kalangan rakyatnya pada tahap 143.7 peratus, penembusan media sosial pada tahap 45 peratus dan 65.8 peratus rakyat Malaysia merupakan pengguna Internet. — Bernama