Projek Perintis Transformasi PLKN 2.0 dilaksana 17 Oktober ini: Hishammuddin

0

KUALA LUMPUR: Projek Perintis Transformasi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2.0 akan dilaksanakan pada 17 Oktober ini melibatkan seramai 410 pelatih dan 31 jurulatih.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata daripada 410 jumlah pelatih, 309 menawarkan diri secara sukarela manakala 101 menerima tawaran daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN).

“Kemasukan pelatih secara sukarela ini diharapkan dapat menjadi titik tolak kepada pelaksanakan PLKN 2.0 tahun hadapan yang memang kita tekankan aspek ‘volunteerism’,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Koordinasi Transformasi PLKN di sini, semalam.

Hishammuddin berkata projek perintis itu juga akan menguji keberkesanan kedua-dua fasa dalam PLKN berwajah baharu ini iaitu fasa 1 ‘Model Pembelajaran Bersepadu’ dan fasa 2 ‘Latihan Kemahiran’.

“Fasa 1 melibatkan lima modul utama iaitu Fit4life; Tech & Talk; Malaysiaku; Be Safe & Be Alert; iUpgrade dan tiga sub modul iaitu Spirituality, Volunteerism dan MyFuture.

“Bagi fasa 2 iaitu pelatih yang telah tamat latihan pada fasa 1 akan ditempatkan di institusi-institusi latihan kemahiran kendalian Kementerian Belia dan Sukan Malaysia antaranya Institut Kemahiran Belia Negara, Kolej Komuniti dan politeknik,” katanya.

Mengenai modul kenegaraan, Hishammuddin berkata ia dikekalkan malahan ditambah baik melihat kepada ancaman baharu seperti ancaman militan.

“Ia dikekalkan supaya semangat cinta negara masih terkandung dalam program PLKN baharu ini… Patriotisme Volunteerism dan Unity ini harus kekal kerana teras ini bagi saya dalam pembinaan negara bangsa lebih-lebih lagi dalam dunia yang semakin mencabar, ia merupakan perkara penting yang perlu ada dalam jiwa dan sanubari anak muda kita.

“Kita juga perlu berhadapan dengan dunia tanpa sempadan, ancaman baharu, isu keselamatan dalam konteks keamanan sejagat saya percaya ini tidak boleh dikompromi.

“Sebagai contoh fenomena ISIL (Negara Islam – IS), apa yang membuatkan anak muda mahu ke sana. Mereka ini berbeza dengan Al-Qaeda atau Jemaah Islamiah yang adakalanya tidak ada kaitan langsung dengan agama… Fenomena di luar sana mesti kita jadikan pengajaran kepada anak muda kita,” katanya. — Bernama