MSNS perhebatkan program pembangunan kriket: Dr Ong

0

KUCHING: Kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) akan memperhebatkan program pembangunan kriket secara menyeluruh dalam usaha mengembangkan sukan itu di negeri ini.

Pengarah MSNS, Dr Ong Kong Swee berkata program pembangunan sukan itu ketika ini masih belum mencukupi dan perlu diperluaskan ke seluruh bahagian negeri agar lebih ramai pemain berwibawa dapat dilahirkan.

“Program pembangunan kriket di Sarawak ketika ini lebih banyak tertumpu di zon selatan. Ini perlu ditingkatkan dengan meluaskannya di zon tengah dan utara negeri bagi melahirkan lebih ramai pemain berbakat,” katanya pada sidang media Liga Kriket Bawah 12 Tahun, Piala Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid Edisi Ke-III 2015 di sini kelmarin.

Hadir sama Presiden Persatuan Kriket Melayu Malaysia (MMCA), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Presiden Persatuan Kriket Sarawak (SCA), Awang Mahyan Awang Mohamed.

Ong yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Negeri Sarawak (SSC) menjelaskan perlunya mewujudkan budaya kriket kalangan masyarakat di sini bagi menimbulkan minat terhadap sukan tersebut dengan lebih mendalam.

Ini boleh dilaksanakan melalui penganjuran pelbagai kejohanan peringkat akar umbi secara berterusan selain penyediaan program latihan secara tersusun.

Sementara itu, Ahmad Sarji memuji inisiatif SCA dalam meneruskan penganjuran liga kriket di peringkat akar umbi sambil menyifatkannya sebagai pembinaan tunas harapan.

Menurutnya, program pembangunan dilaksanakan oleh SCA itu sangat baik dalam memastikan kelestarian kriket di Sarawak.

Bagaimanapun, beliau menegaskan perlunya Sarawak mempunyai padang kriket yang berkualiti dan jurulatih berwibawa bagi membolehkan pemain menjalani latihan dengan baik dan bersistematik.

“Selain itu, latihan terkumpul seperti akademi kriket juga perlu bagi mengumpul pemain berbakat untuk menjalani latihan bersama-sama,” katanya.

Ahmad Sarji turut memberi penekanan terhadap pentingnya tajaan daripada pihak swasta untuk memperbanyak penganjuran kejohanan.