Hari Sukan Negara disambut penuh meriah

0

Rakyat perlu jadikan sukan budaya, tidak jalankan aktiviti hanya ketika sambutan: PM

TUNJUK BAKAT: Khairy melakukan lontaran dalam permainan ‘Street Basket Ball’ ketika hadir melawat Expo Sukan Antarabangsa 2015 di Dataran Merdeka dekat Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

TUNJUK BAKAT: Khairy melakukan lontaran dalam permainan ‘Street Basket Ball’ ketika hadir melawat Expo Sukan Antarabangsa 2015 di Dataran Merdeka dekat Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Hari Sukan Negara yang julung kali diadakan, semalam diraikan serentak di seluruh negara dengan penuh meriah dan semangat kesukanan yang tinggi.

Lebih 17,000 aktiviti sukan dan riadah dianjurkan untuk setiap lapisan masyarakat dalam usaha membudayakan sukan sebagai suatu amalan gaya hidup sihat.

Ribuan peserta termasuk golongan belia dan para atlet memeriahkan pembukaan Hari Sukan Negara di Padang Kawad Universiti Teknologi MARA (UiTM) pagi semalam, dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Najib dalam ucapannya berkata rakyat Malaysia perlu menjadikan sukan sebagai satu budaya dan tidak hanya menjalankan aktiviti itu pada hari sambutan sahaja.

Pada 24 Mac lepas, Perdana Menteri mengisytiharkan Hari Sukan Negara akan diadakan setiap Sabtu minggu kedua Oktober pada setiap tahun.

Sambutan ini merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan yang ia satu langkah proaktif dalam proses transformasi ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebuah ‘Negara Bersukan’.

Di PUTRAJAYA, beberapa acara dianjurkan bagi memeriahkan Hari Sukan Negara  antaranya program Jalan Ria 1Murid 1Sukan yang dirasmikan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan majlis Senamrobik Ceria@Hari Sukan Negara disertai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan lebih 2,000 penjawat awam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak pula menyertai warga kementerian dalam acara program Zumba dan Karnival Sukan Rakyat.

Di PERAK, kira-kira 10,000 peserta menyertai pelbagai acara termasuk larian dan pertunjukan seni mempertahankan diri di Kompleks Belia dan Sukan Ipoh, dengan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut menyertai acara berbasikal sejauh 30 km.

Di TERENGGANU, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menyertai kira-kira 2,000 peserta dalam acara senamrobik di Universiti Malaysia Terengganu.

Sambutan Hari Sukan Negara peringkat Negeri Terengganu turut diadakan di beberapa lokasi antaranya Taman Awam Bukit Besar di Kuala Terengganu, Padang Astaka di Kemaman dan Stadium Mini Kampung Raja di Besut.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pula menyertai acara kayuhan berbasikal sejauh 14 km dari Padang Astaka ke Pantai Teluk Mok Nik di Kemaman, selain bersama-sama 5,000 peserta dalam acara senamrobik.

Di KEDAH, Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir merasmikan Hari Sukan Negara peringkat negeri di Universiti Utara Malaysia disertai kira-kira 10,000 peserta.

Antara aktiviti yang diadakan adalah berjalan kaki 10,000 langkah, kayuhan berbasikal sejauh 11 km, senamrobik perdana, pameran serta cabutan bertuah.

Di KELANTAN, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed melancarkan sambutan peringkat negeri di Kompleks Belia dan Sukan Panji, Kota Baharu.

Kira-kira 168,000 peserta pelbagai peringkat umur berhimpun di pelbagai lokasi di negeri itu untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti sukan.

Di JOHOR, Hari Sukan Negara disambut meriah di Dataran Mawar, Pasir Gudang yang dihadiri kira-kira 350,000 orang bagi menyertai pelbagai acara termasuk sukan tradisional.

Di PAHANG, persembahan seni mempertahankan diri, futsal terbuka, futsal kanak-kanak, pertandingan sepakan penalti dan pertandingan bola jaring, adalah antara acara yang menarik perhatian kira-kira 5,000 peserta yang menyertai sambutan Hari Sukan Negara peringkat negeri di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 1.

Di PERLIS, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan Hari Sukan Negara peringkat negeri yang melibatkan 20,000 rakyat pelbagai kaum dan peringkat umur di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra.

Di NEGERI SEMBILAN, Hari Sukan peringkat negeri disambut di Stadium Mini Kuala Pilah dengan penyertaan lebih 8,000 peserta dalam 15 acara sukan.

Turut diadakan adalah program ikonik ‘Aerobicthon Malaysia Book Of Records’ (MBOR) yang melibatkan lebih 1,000 peserta orang kelainan upaya.

Di SARAWAK, kira-kira 7,000 peserta pelbagai kelab dan persatuan sukan di sekitar Kuching menyertai tarian zumba, senam robik dan seni mempertahankan diri bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Sukan Negara.

Di SABAH, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata lebih 400,000 rakyat memeriahkan acara Hari Sukan Negara yang disambut di seluruh negeri.

Di Labuan, ribuan penduduk Labuan mengambil bahagian dalam pelbagai acara termasuk tarian zumba, bola tampar, futsal, cabaran berbasikal, larian dan acara ‘VVIP fun walk’. — Bernama