Bidayuh beri sokongan penuh kepada Adenan terajui Sarawak

0
KENANGAN: Bekas-bekas presiden DBNA merakam kenangan bersama Adenan (enam kanan), Manyin (lima kanan) dan Ik Pahon (tujuh kanan) selepas menerima anugerah masing-masing.

KENANGAN: Bekas-bekas presiden DBNA merakam kenangan bersama Adenan (enam kanan), Manyin (lima kanan) dan Ik Pahon (tujuh kanan) selepas menerima anugerah masing-masing.

KUCHING: Masyarakat Bidayuh di negeri ini akan memberi sokongan penuh kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem untuk terus menerajui Sarawak bagi tempoh lima tahun lagi dan seterusnya.

Sokongan penuh ini dinyatakan oleh Penasihat Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Dato Sri Michael Manyin Jawong yang mewakili semua masyarakat Bidayuh di negeri ini.

Jelas Manyin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan, Adenan wajar mendapat mandat ini daripada rakyat, khasnya daripada masyarakat Bidayuh untuk terus memimpin Sarawak atas sumbangan besarnya selama ini.

“Dalam tempoh yang singkat iaitu 19 bulan ini, Ketua Menteri (Adenan) telah melakukan banyak usaha yang memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini termasuk kita kaum Bidayuh.

“Antaranya memberi kebebasan terhadap penggunaan kalimah ‘Allah’ di kalangan penganut Kristian di negeri ini, menggantikan istilah ‘lain-lain’ dalam borang rasmi kerajaan, penurunan tarif elektrik serta banyak lagi.

“Untuk itu, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang kami akan memberi mandat kepada beliau (Adenan) sebagai Ketua Menteri Sarawak untuk tempoh lima tahun lagi dan seterusnya,” kata Manyin.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-60 DBNA di Dewan Serba Guna DBNA yang terletak di Jalan Kumpang di sini kelmarin.

Tambah Manyin, sejak Adenan menjadi Ketua Menteri, ini merupakan kali keempat beliau menghadiri majlis yang dianjurkan oleh masyarakat Bidayuh bermula dengan Simposium Bidayuh yang turut diadakan di DBNA tahun lepas.

Pada awal tahun ini pula, Adenan menurut Manyin telah merasmikan Pesta Birumoh di Serian di mana pada majlis itu beliau telah mengumumkan Serian sebagai sebuah bahagian baharu dalam Sarawak.

Sempena sambutan Hari Gawai Jun lepas pula, Adenan telah menghadiri Festival Gawai Redeems di Singai, Bau dan hari ini (kelmarin) beliau bersama masyarakat Bidayuh sempena Ulang Tahun Ke-60 DBNA.

“Ucapan terima kasih daripada kami masyarakat Bidayuh kepada Ketua Menteri. Anda sememangnya adalah kawan sejati Bidayuh,” katanya.

Pada majlis itu, Manyin turut berharap Ketua Menteri akan mengeluarkan surat tanah kepada 50 kampung Bidayuh yang telah didokumentasikan di bawah projek dokumentasi tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) DBNA.

“Projek dokumentasi tanah NCR merupakan antara kejayaan besar DBNA dan kami berharap Ketua Menteri akan mengeluarkan surat tanah dalam tempoh terdekat ini di bawah Seksyen 18, Kanun Tanah,” ujarnya.

Selain meraikan Ulang Tahun Ke-60 DBNA, majlis pada malam itu turut menyaksikan penyampaian anugerah khas kepada bekas-bekas presiden DBNA dari 1955 hingga kini.

Antaranya, mendiang Ahguan Guga, Michael Paong Nissom, Ritikos Jitab, Dato Sri Robert Jacob Ridu, Datuk Seri Dominic Dago Randan, Datuk Wilfred Rata Nissom, Datuk Peter Minos, Datuk Detta Samen, Datuk Seri Dr James Dawos Mamit dan terkini Datu Ik Pahon Joyik.