Masyarakat Cina Kanowit mohon Gramong dicalon

0

Gramong bawa banyak pembangunan kepada daerah berkenaan sejak jadi wakil pada 1978

// Oleh Watt Zacchaeus //

TERIMALAH: Kong (empat kiri) menyampaikan cenderamata kepada Gramong pada Majlis Ulang Tahun Kelapan Tokong Tai Wong Kung di Penyulau, Kanowit kelmarin.

TERIMALAH: Kong (empat kiri) menyampaikan cenderamata kepada Gramong pada Majlis Ulang Tahun Kelapan Tokong Tai Wong Kung di Penyulau, Kanowit kelmarin.

KANOWIT: Masyarakat Cina di sini memohon agar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan Datuk Gramong Juna dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Kapitan Kong Nguk Khee berkata, Gramong yang merupakan Menteri Muda Pelancongan dan Menteri Muda Kemajuan Tanah banyak membawa pembangunan kepada daerah berkenaan sejak menjadi wakil mereka pada 1978.

“Kami menyokong sepenuhnya Gramong kerana beliau banyak menyalurkan pembangunan kepada daerah ini.

“Bukan itu sahaja, beliau bersikap adil dan tidak menyisihkan kaum Cina di daerah ini,” katanya pada Majlis Ulang Tahun Kelapan Tokong Tai Wong Kung di Penyulau kelmarin.

Majlis itu dirasmikan oleh Gramong dan turut dihadiri Setiausaha Politik Ketua Menteri Maurice Giri, Pegawai Tadbir di Pejabat Daerah Kanowit Jabang Juntan, Pegawai Penerangan Daerah Kanowit Donny Minggu Ling, Temenggung Tan Tian Ho, Pemanca Chia Chau Fa dan Pemanca Spencer Kudang.

Kong yang juga pengerusi jawatankuasa pengelola majlis tersebut berkata, Gramong banyak memenuhi setiap permintaan dan keperluan rakyat khususnya masyarakat Cina di daerah itu.

“Misalnya, tokong itu yang didirikan lapan tahun lalu adalah hasil usaha Gramong dengan wakil-wakil rakyat lain di sini.

“Ini menunjukkan beliau sangat memahami keperluan masyarakat Cina di daerah ini khususnya di Penyulau yang amat memerlukan tempat beribadat,” katanya.

Justeru, beliau menggesa masyarakat Cina di kawasan Penyulau agar terus memberi sokongan padu kepada Gramong pada PRN akan datang.

“Marilah kita bersama-sama memberi mandat kepada Gramong pada PRN akan datang agar beliau dapat menjadi wakil rakyat kita pada penggal akan datang,” tambahnya.

Sementara itu, Kong memohon agar Gramong dapat membantu menaik taraf tokong itu kerana terdapat beberapa kekurangan perlu dibuat bagi keselesaan penganut bersembahyang.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Gramong serta wakil-wakil rakyat lain di sini yang banyak membantu membangunkan tokong itu.

“Diharap jasa baik itu dapat kami balas pada PRN akan datang dan kami berikrar berdiri teguh di belakang Barisan Nasional (BN),” katanya.