Organisasi perlu ada pelan tindakan kecemasan

0

Pelan berkenaan bukan sahaja berguna ketika berlaku kebakaran tetapi rompakan atau insiden lain

// Oleh Patricia Gari //

KUCHING: Setiap organisasi perlu mewujudkan pelan tindakan kecemasan (ERP) sendiri sebagai persediaan menghadapi situasi kecemasan.

Pengurus Stesen Minyak Shell Safewide Sdn Bhd Clement Mixsin Luwan berkata ERP sangat penting kerana pelan tindakan kecemasan itu bukan sahaja berguna ketika berlaku kebakaran tetapi rompakan atau insiden lain.

Beliau turut mencadangkan agar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutama yang berkaitan dengan komuniti seperti Persatuan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS) mewujudkan ERP.

“Setiap organisasi atau NGO harus mengenal pasti insiden yang berpotensi berlaku dan risiko paling tinggi dihadapinya sebelum ERP diwujudkan.

“Ini penting bagi memastikan penubuhan ERP di peringkat organisasi atau NGO mencapai objektif,” katanya ketika Ceramah Kesedaran Keselamatan yang dianjurkan di premis SCCS dekat sini.

Menurutnya untuk memantapkan ERP, setiap organisasi harus melakukan senarai perkara yang harus dilakukan atau ‘to do list’ untuk membantu melancarkan kerja-kerja menyelamat dan sebagainya ketika berlaku kecemasan.

“Kaedah ini sangat mudah, kerana kita boleh menggunakan kertas yang dikitar semula untuk menulis atau membuat senarai perkara harus dilakukan apabila berlaku kecemasan dan diagihkan kepada staf bertugas,” jelasnya.

Mengenai program itu, Clement berkata ia bertujuan memberi kesedaran dalam kalangan staf dan penghuni SCCS yang terdiri daripada pesakit dan penjaga mereka tentang pentingnya ERP .

Sementara itu, Pengurus SCCS Jordie Sim berkata pihaknya amat berterima kasih kepada Safewide Sdn Bhd kerana amat mengambil berat mengenai persatuan dan pusat berkenaan.

“Terima kasih juga atas sumbangan Safewide Sdn Bhd dalam bentuk papan tanda kecemasan dan memasangnya di kawasan dikenal pasti,” katanya sambil menambah bahawa kedua-dua pihak mencapai kata sepakat untuk bekerjasama dalam pelbagai aspek demi kebaikan bersama.