Hapuskan diskriminasi

0

Sarawak akan ubah sebarang amalan perundangan yang mungkin mendiskriminasi wanita: KM

KREATIF: Adenan bersama Jamilah (tiga kanan) melawat pameran sebelum majlis perasmian Hari Wanita 2015 sambil diiringi Fatimah (kanan) serta yang lain, semalam.

KREATIF: Adenan bersama Jamilah (tiga kanan) melawat pameran sebelum majlis perasmian Hari Wanita 2015 sambil diiringi Fatimah (kanan) serta yang lain, semalam.

Oleh Jessica Jawing //

KUCHING: Sarawak akan mengubah sebarang amalan perundangan yang mungkin mendiskriminasi wanita agar mereka dapat menunaikan peranan masing-masing.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menyarankan sekali lagi kepada Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga supaya melakukan penyelidikan ke atas semua amalan undang-undang berkaitan diskriminasi ke atas wanita.

“Sebelum ini, kementerian berjanji untuk melakukan penyelidikan ke atas amalan undang-undang diskriminasi wanita.

“Saya akan menunaikan janji itu tetapi sehingga kini ia belum lagi dilakukan. Saya menunggu cadangan daripada anda agar wanita mampu memainkan peranan sama seperti lelaki,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Wanita (HW2015) Peringkat Negeri 2015 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Majlis sambutan itu turut dihadiri isterinya Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu Numpang serta isteri, Dato Sri Empiang Jabu.

Adenan tidak menafikan peranan wanita dalam bidang hiburan dan kesenian tidak begitu mendapat layanan sewajarnya akibat kekangan serta pemikiran sempit segelintir pihak.

Beliau menjelaskan, ini sekali gus mewujudkan diskriminasi terhadap wanita dan sistem itu sewajarnya tidak harus ada di mana-mana negeri termasuk Sarawak.

“Jika sistem itu ada di Sarawak berkaitan soal diskriminasi wanita, saya akan melakukan sesuatu dan berusaha mengubahnya kepada yang lebih baik.

“Wanita mempunyai potensi, namun sehingga kini anda tidak dibenar dalam banyak perkara sehingga tidak menyedari potensi itu sejak bertahun-tahun lalu,” katanya.

Adenan memberitahu, Sarawak mahu polisi memperkembangkan wanita dalam apa sahaja bidang dan memberi peluang kepada mereka memainkan peranan.

Beliau turut mengingatkan kaum wanita khasnya yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga agar tidak berdiam diri, sebaliknya tampil menyuarakan hak mereka sebagai wanita.

“Masalahnya kini adalah wanita tidak berani memberi respons atau takut atas keganasan oleh kaum lelaki, maka anda harus berdiri menegakkan hak anda dan jangan berdiam diri serta merana,” tegasnya.