154 kertas siasatan balak haram dibuka

0

KUCHING: Ketegasan dan komitmen kerajaan negeri membanteras pembalakan haram terbukti dengan 154 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan berkaitan perhutanan dan 37,225 meter padu balak dirampas setakat 30 September ini.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ia merupakan hasil komitmen dan kerjasama agensi-agensi penguat kuasa seperti Polis, Kastam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), Sarawak Forestry Corporation, Perbadanan Perusahaan Kemajuan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan Harwood Timber Sdn Bhd.

Beliau turut menghargai komitmen pemberi maklumat dalam memastikan masalah pembalakan haram dapat dibendung.

“Tindakan keras seperti penggantungan dan pembatalan lesen akan diambil sekiranya pelesen gagal mematuhi ordinan, peraturan dan syarat-syarat ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan media di sini kelmarin.

Menurutnya, kempen membanteras pembalakan haram yang dilancarkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mulai 2014 telah menampakkan kejayaan.

“Namun, kerajaan menggesa supaya aktiviti membanteras pembalakan haram tersebut terus dipertingkatkan melalui penambahbaikan terhadap sistem pentadbiran dan pengurusan hutan termasuk meningkatkan nilai integriti kalangan pegawai pelbagai agensi perhutanan yang menjalankan aktiviti pemantauan penebangan, taksiran royalti, pemantauan pergerakan balak dan penguatkuasaan di lapangan,” katanya.

Jelasnya, jika pembalakan haram tidak dibanteras ia memberi kesan buruk kepada alam sekitar, menjejaskan imej Sarawak dan menyebabkan kerugian kepada negeri dari segi kutipan royalti.

Sarawak mempunyai polisi dan undang-undang bagi mengelakkan aktiviti pembalakan dan perdagangan haram. Undang-undang itu perlu dilaksanakan dengan berkesan.

“Pihak industri perlu mengamalkan self-regulatory dalam melaksanakan aktiviti penebangan kayu dalam kawasan lesen mereka. Ini penting agar aktiviti berkenaan mematuhi syarat, undang-undang dan pelan pengurusan,” ujarnya.

Tindakan juga diambil memantau bekalan balak di kilang pemprosesan kayu di seluruh negeri bagi memastikan hanya balak sah sahaja diproses di kilang-kilang berkenaan.

“Didapati 33 kilang menghentikan operasi mereka yang berkemungkinan bergantung kepada sumber balak haram,” katanya.

Beliau menegaskan, tindakan dilaksanakan kerajaan dalam membanteras pembalakan haram tidak seharusnya dilihat sebagai cuba mensabotaj industri pembalakan sedangkan ia adalah memastikan kelestarian industri perkayuan.

Industri tersebut amat penting kerana ia menyediakan peluang pekerjaan dan penyumbang hasil negeri dan menyediakan akses kepada penduduk di pedalaman melalui jalan balak.

Sokongan dan kerjasama semua pihak termasuk industri sangat diperlukan bagi memastikan usaha membanteras pembalakan haram berjaya.

“Salah satu langkah penting bagi membanteras pembalakan haram di negeri ini adalah dengan menambah baik amalan pengurusan hutan melalui persijilan hutan dari badan diiktiraf dunia.

“Pemegang lesen terutamanya lesen tempoh jangka panjang harus melihat perkara ini sebagai keutamaan bagi memastikan hutan diurus secara mapan dan telus,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan mengenal pasti 25 lesen meliputi 1.6 juta hektar yang mana pelesen bersetuju dan memulakan langkah awal bagi mendapatkan persijilan hutan menjelang 2020.

Dalam tempoh dua tahun akan datang, kerajaan negeri juga memastikan enam lesen kalangan ‘The Big Six’ akan dipersijilkan.