81 peserta sertai siri kedua latihan sukarelawan SUKMA XVIII 2016

0

TELAGA AIR: Siri kedua latihan sukarelawan SUKMA XVIII berjaya dianjurkan di JAKIM, Telaga Air dari 21 hingga 23 November 2015 dengan disertai seramai 81 peserta.

Semua pelatih berusia dalam lingkungan 18-45 tahun mewakili pelbagai agensi kerajaan menunjukkan semangat tinggi sepanjang latihan selama tiga hari itu.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Ahmad Rodzi Hashim berkata objektif utama latihan adalah untuk membentuk kumpulan sukarelawan yang berdisiplin serta beretika dalam melaksanakan tugas semasa SUKMA nanti.

“Cabaran utama kita hadapi adalah mengumpul sukarelawan dalam unit yang kukuh kerana mereka datang pelbagai latarbelakang berbeza. Sukarelawan ini menjadi penghubung penting antara penganjur, atlet dan penonton.

“Sehubungan itu, kita berharap lebih ramai orang awam turut serta semasa latihan kerana kita mensasarkan seramai 750 sukarelawan dan mungkin lebih untuk merasmikan Sukan Paralimpik yang akan berlangsung selepas SUKMA XVIII iaitu dari 31 Julai hingga 6 Ogos 2016,” katanya di sini semalam.

Sesi pertama latihan disertai seramai 50 peserta dan berlangsung dari 15-19 November lalu.

Untuk sesi ketiga dan terakhir akan diadakan di Miri dari 7 hingga 10 Disember depan.

Mereka berminat boleh menghubungi Ahmad Rodzi di talian 013-8443044 dan Ahmad Osman di talian 016-8889274.

Orang ramai dijemput turut serta.