Kerajaan sedia bajet tambahan, sokong penganjuran SOPMA di Sarawak: Fatimah

0
TELITI: Fatimah melihat kertas kerja penganjuran SOPMA Ke-19 yang akan diadakan di Sarawak pada 2016 sambil disaksikan oleh Albert (lima kanan) dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Abang Shamsuddin Abang Seruji (dua kanan).

TELITI: Fatimah melihat kertas kerja penganjuran SOPMA Ke-19 yang akan diadakan di Sarawak pada 2016 sambil disaksikan oleh Albert (lima kanan) dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Abang Shamsuddin Abang Seruji (dua kanan).

KUCHING: Kerajaan negeri akan menyediakan bajet tambahan sebagai sokongan terhadap penganjuran Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) Ke-19 yang kali pertama diadakan di negeri ini pada 30 September hingga 7 Oktober 2016.

Justeru, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata kementeriannya akan membentangkan kertas kerja mengenai penganjuran kejohanan berkenaan kepada kabinet negeri bagi memohon bajet yang diperlukan.

“Kita akan membantu SOPMA sama seperti yang diberikan kepada Sukan Malaysia (SUKMA) dan paralimpik.

“Maka, kerajaan negeri akan memberi bajet tambahan bagi penganjuran kejohanan ini kerana kita tahu bajet dari Kementerian Belia dan Sukan adalah tidak mencukupi,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat daripada jawatankuasa SOPMA Sarawak di pejabatnya di sini, semalam.

Bagaimanapun, Fatimah berkata cabaran besar yang dihadapi Sarawak selaku tuan rumah SOPMA Ke-19 adalah untuk mendapatkan atlet, jurulatih dan sukarelawan.

“Dianggarkan seramai 1,000 orang pekak di seluruh Sarawak tetapi bilangan yang berdaftar dengan Persatuan Orang Pekak Sarawak hanya lebih 300 orang sahaja menyebabkan kita sukar untuk mendapatkan atlet.

“Masalah jurulatih juga sangat sukar kerana tidak ramai jurulatih yang boleh berkomunikasi dengan atlet yang tidak dapat mendengar ini.

“Selain itu, masalah dari segi komunikasi juga menyebabkan kita sukar untuk mendapatkan sukarelawan yang diperlukan iaitu kira-kira 600 orang,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Orang Pekak Sarawak Albert Wong berkata pihaknya memberikan fokus yang tinggi terhadap penganjuran SOPMA di negeri ini sebagai platform untuk golongan berkenaan menonjolkan diri.

“Kami mahu membuktikan bahawa orang pekak adalah seperti orang normal dan mampu menyertai semua sukan. Ini adalah penting dan kami harus positif,” katanya.

SOPMA Ke-19 dijangka disertai sebanyak 14 kontinjen dari seluruh negara termasuk dua kontinjen masing-masing dari Brunei dan Singapura dengan mempertandingkan sebanyak empat acara iaitu badminton, boling, bola sepak lelaki dan olahraga.

“Bagi kejohanan kali ini, kami menyasarkan kedudukan tiga teratas,” kata Albert.

Dalam SOPMA Ke-18 yang diadakan di Melaka pada 2014, kontinjen Sarawak sekadar menduduki tempat kesembilan dengan memungut sebanyak sembilan pingat.