Dua lelaki lega bebas tuduhan rompak berkumpulan bersenjata

0

KOTA KINABALU: Dua lelaki tempatan dapat menarik nafas lega, apabila dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan bersenjata.

Hakim Azreena Aziz membebaskan dan melepaskan Mohd Khairul Mohd Fadzley, 27, dan Metondius Callixtus Joseph, 22, tanpa dipanggil membela diri.

Keputusan itu dilakukan oleh mahkamah, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

Kelmarin adalah untuk keputusan kes di peringkat akhir pendakwaan.

Mereka didakwa merompak seorang wanita dengan bersenjatakan sebatang besi, dan melarikan sebuah kereta Myvi, kad pengenalan, kad kuasa polis daan lesen memandu kenderaan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan itu dilakukan pada 20 November tahun lalu jam 1.50 pagi di jalan raya Kampung Pikat, Bongawan, Papar.

Atas pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.

Hukuman yang diperuntukkan boleh dipenjara sehingga tempoh 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan sudah memanggil 11 saksi untuk memberikan keterangan.

Peguam P.J Perira mewakili Mohd Khairul dan Metondius diwakili Michelle Rossana Usman.