Pencuri kebas RM2, telefon bimbit berjaya ditangkap tuan rumah

0

SIBU: Seorang suspek lelaki tidak sempat menikmati hasil curinya apabila dia berjaya ditahan seorang penghuni rumah  di depan pintu pagar rumah dipecah masuknya di Jalan Belian dekat sini pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 9 pagi semalam, pengadu, 25, dikejut ibu mertua yang memberitahunya ada seorang lelaki tidak dikenali memasuki rumah sewa mereka.

Pengadu kemudian bergegas keluar dari bilik tidurnya di tingkat atas untuk memeriksa bilik di tingkat bawah.

Bagaimanapun, pengadu tidak menemui sesiapa yang mencurigakan selain sepupunya yang sedang tidur di situ.

Apabila dia menjengok keluar dia mendapati seorang lelaki sedang keluar daripada perkarangan rumah sewa mereka.

Pengadu kemudian bertindak menahan suspek dan bertanya apa yang telah dilakukannya.

Pada mulanya, suspek memberitahu pengadu bahawa dia ingin mencari bilik sewa namun pengadu curiga sebab suspek berbohong.

Akhirnya suspek terpaksa mengeluar sebuah telefon bimbit jenama Sony Experia dan wang kertas RM2.00 kepada pengadu sambil memohon maaf.

Menurut pengadu, telefon bimbit tersebut adalah milik sepupunya, 20, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kolej di sini.

“Sepupu saya baharu pulang daripada bertugas pada syif malam dan dipercayai sedang tidur ketika suspek menyelinap masuk untuk mencuri di biliknya,” jelasnya.

Beberapa orang penghuni yang marah selepas menyedari apa yang telah berlaku bertindak membelasah suspek sehingga hidungnya berdarah.

Suspek kemudian diikat dengan tali nilon sebelum  polis tiba dengan kereta peronda membawanya ke Balai Polis Sentral untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Difahamkan suspek, 32, pernah ditahan atas kesalahan mencuri silender gas memasak beberapa bulan lepas.

Menurut pengadu, rumah sewanya pernah kehilangan dua tong gas dan dapur elektronik sebelum ini.

 

tamat

 

sbw-ub281115-mu-curiPRC