Serah kuasa baik pulih bangunan kepada negeri

0

Kata putus lebih lama terpaksa ditunggu daripada kerajaan persekutuan khasnya baiki sekolah uzur

KUCHING: Kerajaan persekutuan diminta membenarkan kerajaan negeri  melaksanakan projek penambahbaikan pembangunan di negeri ini.

Dr Annuar Rapa’ee (BN-Nangka) berkata, dengan adanya kebenaran itu, kerajaan negeri tidak perlu menunggu kata putus lebih lama dari persekutuan untuk melaksanakan kerja penambahbaikan khususnya bagi sekolah usang dan uzur yang perlu baik pulih segera.

“Selain memberi peruntukan dalam kadar segera, saya juga mahu kerajaan persekutuan membenarkan kita melaksanakan projek penambahbaikan sekolah dengan segera tanpa perlu menunggu kelulusan mereka.

“Malah, kerajaan negeri telah membuktikan bahawa kita berkeupayaan untuk menjalankan projek pembangunan dan penambahbaikan dengan begitu baik sekali, terutamanya menerusi kejayaan kira-kira 1,818 projek kecil luar bandar (MRP) melibatkan keseluruhan kos berjumlah RM500 juta dilaksanakan sepanjang tahun ini seperti diumum Ketua Menteri baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebagai mengulas mengenai isi perbahasannya ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan (2016) 2015 pada Persidangan Dewan Undangan Ne-geri (DUN), di sini, semalam.

Katanya lagi, kerja penambahbaikan sekolah bukanlah sesuatu yang boleh diambil remeh kerana ia boleh memberi kesan terhadap pencapaian pendidikan anak-anak.

“Ada antara sekolah begitu usang dan uzur, malah ada juga yang tidak selamat untuk diduduki dan bagaimana perkara ini boleh diambil ringan?.

“Ini berhubung dengan keselamatan dan pelajaran anak-anak kita,” katanya tegas sambil menambah Laporan Ketua Audit menyatakan sehingga kini sebanyak 17 peratus sekolah di Sarawak tidak perlu diperbaiki.

“Manakala selebihnya 83 peratus sekolah perlu diperbaiki dan ditambah baik dalam kadar segera selain Kementerian Pendidikan Negeri memperuntuk RM680 juta untuk tujuan penambahbaikan sekolah usang itu sehingga 2018,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyentuh mengenai kepen-tingan untuk memohon grid saluran paip  gas di beberapa kawasan utama di negeri ini seperti yang diguna pakai oleh Semenanjung Malaysia pada ketika ini daripada Petronas.

“Kita tidak boleh hanya bergantung dengan permintaan untuk royalti 20 peratus daripada Petronas kerana isu itu sebaiknya kita biarkan ia diselesaikan dengan kebijaksanaan ketua menteri kita.

“Banyak lagi aspek pembangunan lain yang boleh diambil kira, antaranya memohon agar grid saluran paip gas dipasang di beberapa kawasan utama bagi  membekal dan menyalur gas di premis.

“Ia juga boleh menawarkan subsidi gas daripada Petronas untuk tujuan pembekalan itu,” jelasnya.