Wanita lesap RM3,000 ditipu lima individu

3
MALANG: Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Sibu semalam.

MALANG: Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Sibu semalam.

SIBU: Tabiat menyimpan kata laluan dalam beg tangan menjadi pengajaran kepada seorang wanita dari sebuah rumah panjang di Rantau Panjang dekat sini apabila mengalami kerugian lebih RM3,000 selepas menjadi mangsa tipu lima individu tidak dikenali pagi semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 9 pagi, mangsa, 49, didatangi dua orang wanita berpakaian kemas tiba-tiba menyapa dan memberitahu bahawa mereka boleh membantunya mendapatkan bantuan kewangan membaiki rumah ketika membeli-belah di sebuah kedai, Jalan Market di sini.

Tanpa penjelasan lanjut, mangsa dibawa masuk ke dalam sebuah kereta turut dinaiki dua lelaki dan seorang lagi wanita dipercayai berbangsa Iban.

Menurut mangsa, beliau dibawa ke Sibu Jaya kononnya mereka membawanya ke sebuah pejabat menguruskan permohonan bantuan kewangan tersebut.

Semasa dalam perjalanan, mangsa diberi tunjuk ajar agar menanggalkan rantai emas dipakainya terlebih dahulu sebelum berjumpa dengan pegawai pejabat berkenaan.

Apabila sampai di lokasi, mangsa diarah membawa hanya kad pengenalan sahaja dan meninggalkan beg tangannya mengandungi dua utas rantai emas, sebentuk loket emas, sebuah telefon bimbit jenis Nokia, dua kad ATM termasuk milik anaknya, buku akaun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tangkal dan barangan peribadi.

Mangsa hanya menurut arahan mereka kemudian bertindak naik ke tingkat tiga sebuah bangunan namun hairan apabila mendapati tempat ditujunya rupa-rupa sebuah gimnasium.

Apabila mangsa turun ke bawah mendapati kereta dinaiki bersama lima individu berkenaan sudah tiada.

Menyedari dirinya ditipu, mangsa mendapatkan pertolongan orang awam memberikan RM2 untuk tambang menaiki van teksi pulang ke pusat bandar.

Mangsa kemudian berjumpa anak saudara lelaki mengiringinya ke sebuah bank cuba membuat pengeluaran wang simpanan.

Paling menyedihkan, mangsa diberitahu seorang pegawai bank terbabit bahawa wang berjumlah RM900 baharu sahaja dikeluarkan dan baki wang simpanannya hanya tinggal RM70 sahaja.

Mangsa percaya bahawa lima individu terbabit menemui kata laluan bersama kad ATM disimpan dalam beg tangannya.

Kes tersebut dilaporkan di Balai Polis Sentral di sini tengah hari semalam.