10 projek bina gelanggang futsal dilaksana di Dalat

0

DALAT: Sebanyak 10 projek pembinaan gelanggang futsal dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat bawah program Projek Kecil Luar Bandar (MRP), kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah.

Katanya, daripada jumlah itu, lapan gelanggang futsal sudah disiapkan sepenuhnya sejak 2005 sehingga 2015.

Manakala dua lagi projek pembinaan gelanggang futsal di Kampung Sungai Ud dan Kampung Medong Hulu masih dalam proses pelaksanaan.

Fatimah berkata, kedua-dua projek itu dijangka siap tahun depan.

“Masih ada dua projek dalam proses pembinaan iaitu di Kampung Sungai Ud dan Kampung Medong Hulu dijangka siap tahun depan,” katanya ditemui selepas merasmikan Pertandingan Futsal Piala Datuk Fatimah Abdullah Edisi Kedua di Kampung Terus di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau yang juga ADUN Dalat berkata hampir setiap kampung di kawasannya mempunyai kemudahan infrastruktur itu yang diperuntukkan oleh kerajaan menerusi MRP.

Selain itu, beliau mendedahkan sebanyak enam projek pembinaan gelanggang futsal termasuk sebuah stadium turut dilaksanakan di bawah projek Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Dalam perkembangan sama, Fatimah turut menyampaikan geran MRP berjumlah RM3,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Terus untuk penganjuran program.

Menurutnya, penganjuran edisi kedua itu mendapat sambutan menggalakkan daripada 41 pasukan lelaki dan wanita terdiri peserta bukan sahaja dari kawasan Mukah malah turut menerima penyertaan beberapa bahagian di Sarawak.

Terdahulu dalam ucapannya, Fatimah berkata akan menyalurkan peruntukan berjumlah RM10,000 untuk menjayakan kejohanan sama pada edisi 2016.