Buaya peliharaan terlepas kurungan selepas 30 tahun

0

BINTULU: Seekor buaya dipelihara sejak 30 tahun lalu terlepas kurungan pemiliknya namun berjaya ditangkap semula oleh lima anggota Jabatan Pertahanan Awam  Malaysia (JPAM) Bintulu di sebuah rumah persendirian di Sungai Selitut, 13 kilometer dari Jalan Bintulu-Tatau di sini kelmarin.

Koperal (PA) Luta Kam yang mengetuai operasi penangkapan buaya itu berkata, buaya panjangnya lapan kaki dan lebar tiga kaki itu agak agresif ketika cuba ditangkap.

“Lebih sejam diperlukan untuk kami menangkap buaya itu yang difaham telah dipelihara sejak kecil dalam sangkar di bawah rumah dua tingkat milik individu terbabit sebelum buaya terlepas kelmarin,” katanya semasa dihubungi di sini semalam.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11 pagi dan tiba di lokasi kejadian sekitar jam 1 petang seterusnya menggerakkan operasi menangkap buaya terbabit sehingga jam 2 petang.

“Sebelum itu, kami terpaksa bekerja keras menjinaknya dan menangkapnya bagi memudahkan kami mengikat mulut, menutup mata dengan selimut seterusnya mengikat ekor, kepala termasuk meletakkan pembuluh besi sepanjang 6 meter diikat di belakang badan buaya itu,” ujarnya.

Beliau berkata, selepas berjaya mengikat buaya itu dimasukkan ke dalam lori JPAM seterusnya di bawa ke pejabat JPAM Bintulu.

“Pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) dimaklumkan mengenai penangkapan itu dan mereka diberikan maklumat lanjut berkaitan dengannya.

“Seterusnya buaya terbabit di hantar ke Taman Tumbina sekitar jam 4.30 petang kelmarin,” katanya.

Katanya, JPAM turut bergerak bersama ke Taman Tumbina untuk membantu melerai tali ikatan buaya itu sebelum buaya itu dilepaskan di tempat kurungan khas di taman terbabit, tambahnya.