Manfaatkan teknologi maklumat untuk kekal berdaya saing: Yap

0

Perkhidmatan berasas teknologi maklumat pastikan urusan lebih mudah

TAWAU: Peniaga terutamanya daripada sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di daerah ini disaran memanfaatkan teknologi maklumat untuk kekal berdaya saing dalam arus perniagaan moden yang kian mencabar.

Ahli Parlimen Tawau Datuk Mary Yap Kain Ching berkata penggunaan perkhidmatan berasaskan teknologi maklumat akan dapat memastikan semua urusan lebih pantas dan mudah.

“Penggunaan teknologi maklumat bukan sahaja meningkatkan keberkesanan urusan seharian para peniaga, tetapi secara tidak langsung dapat menjadi pemacu dalam merancakkan ekonomi negara kerana penggunaan teknologi maklumat merupakan elemen penting untuk kekal berdaya saing dalam zaman digital masa kini,” katanya.

Yap yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian ketika merasmikan Program Karnival Jualan Mega TM Tawau 2015 bertemakan ‘Hidup dan Perniagaan Lebih Mudah’ anjuran Telekom Malaysia Berhad (TM), di perkarangan Majlis Perbandaran Tawau, di sini semalam.

Mengulas mengenai program itu, beliau berkata ia sangat bertepatan serta selaras dengan keperluan perniagaan dan gaya hidup masyarakat pada masa ini.

“Kami sangat mengalu-alukan usaha syarikat korporat seperti TM yang bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan untuk memacu pembangunan ekonomi melalui program teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berasaskan masyarakat seperti ini.

“Ia selaras dengan aspirasi utama kerajaan untuk memastikan segenap lapisan masyarakat dapat menikmati akses kepada maklumat dan ilmu pengetahuan bagi memperkasakan Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020,” katanya.

Yap berharap masyarakat khususnya peniaga di sekitar daerah ini mengambil peluang mengunjungi karnival yang berlangsung dua hari sehingga hari ini untuk mengenal pasti perkhidmatan dan produk yang ditawarkan untuk dimanfaatkan dalam perniagaan masing-masing.

Pengurus Besar TM Sabah Sukkuriya Masri berkata karnival berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penawaran perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan tersebut.

“TM turut membuka pameran bagi membolehkan orang ramai mencuba sendiri perkhidmatan yang ditawarkan … mengalami sendiri sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi yang ditawarkan oleh TM,” katanya. — Bernama