Projek amal berjaya kutip 4,600 hadiah

0

BB Love Box catat kutipan amat menggalakkan, melangkaui sasaran 4,000 hadiah

Oleh Eve Sonary Heng //

KUCHING: Sebanyak 4,600 hadiah dikutip dalam projek komuniti BB Love Box keempat anjuran Briged Putera Kompeni Kedua Kuching yang bermula dari 1 November hingga 4 Disember.

Kapten Sim Tze Sian berkata, jumlah kutipan amat menggalakkan malah melangkaui sasaran 4,000 hadiah.

Beliau turut melahirkan penghargaan terhadap individu yang bermurah hati terhadap golongan kurang bernasib baik dan mengucapkan terima kasih kepada Crown Square serta Plaza Merdeka kerana menaja tempat mewujudkan gerai BB Love Box.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli atas masa dan usaha mereka untuk menjadikan projek ini berjaya.

“Terima kasih kepada Tea FM kerana menjadi radio rasmi,  rakan media kerana membantu mempromosikan projek kemasyarakatan ini.

“Selain menunaikan hajat kanak-kanak dengan menderma hadiah-hadiah, orang ramai juga menderma barangan makanan dan keperluan lain untuk warga emas dan golongan kurang bernasib baik,” katanya.

Beliau berkata demikian katanya ketika ditemui pada majlis penutupan projek itu di Crown Square di Jalan Pending, di sini, semalam.

Jelasnya, pihaknya juga mempunyai penderma tetap yang menyokong projek kita setiap tahun.

Bishop Reverend Simon Poh menyempurnakan penutupan acara itu dan menjalankan sesi sembahyang bagi memohon berkat bagi kesemua hadiah.

Lebih 100 orang dari Rumah Seri Kenangan, Rumah Kanak-Kanak, Salvation Army Boys’ Home, Trinity Learning Care serta kanak-kanak miskin dari kampung dan sekolah.

The BB Love Box diadakan buat julung kali pada 2012 dengan kutipan 2,100 hadiah, diikuti 2013 dengan sejumlah 2,500 hadiah diraih dan sejumlah 3,500 pada tahun 2014.

Sim berkata, mereka merancang untuk menjalankan projek itu di beberapa pusat beli-belah seperti Crown Square, Plaza Merdeka dan Vivacity dan menyasar untuk meraih 5,000 hadiah.