Beri kerajaan negeri kuasa lantik kontraktor

0

KUCHING: Cadangan agar kuasa diberi kepada kerajaan negeri melantik kontraktor melaksanakan projek bekalan elektrik luar bandar di Sarawak akan dikemuka kepada kerajaan pusat untuk dipertimbangkan.

Menteri Kemudahan Awam Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ketika ini kontraktor dilantik oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri menerusi kementeriannya dan Sarawak Energy Berhad (SEB) hanya membantu menyelaras serta memantau pelaksanaan projek.

Menurutnya sistem itu telah menyebabkan timbulnya beberapa masalah untuk mengurus kontraktor yang gagal melaksanakan projek mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Saya mengalu-alukan cadangan Ahli Yang Berhormat Engkilili (Dr Johnichal Rayong) dan Semop (Abdullah Saidol) agar kuasa diberikan kepada kerajaan negeri untuk melantik kontraktor bagi melaksanakan projek bekalan elektrik luar bandar.

“Kerajaan negeri akan memanjangkan perkara ini kepada kerajaan persekutuan (untuk dipertimbangkan),” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementerian itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Menyentuh projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Sarawak, Awang Tengah berkata sejak 2010, kerajaan pusat telah memperuntukkan RM2.5 bilion untuk melaksanakan projek berkenaan secara talian grid.

Menerusi peruntukan itu, jelasnya 1,280 projek telah diluluskan yang akan memberi manfaat kepada lebih kurang 69,000 isu rumah.

“Sehingga kini 1,204 projek telah siap dan dimanfaat oleh lebih kurang 58,000 isu rumah.

“Sementara itu, 76 projek lagi sedang dilaksanakan dalam pelbagai peringkat, 30 projek mengalami kelewatan daripada jadual asal disebabkan masalah keupayaan kontraktor, izin lalu dan cabaran-cabaran lain,” katanya.

Kerajaan tambahnya, akan meneruskan usaha meningkatkan liputan bekalan elektrik melalui sistem grid dan secara alternatif seperti solar hidrid, mikro hidro dan jana kuasa diesel untuk kawasan-kawasan pedalaman serta terpencil.

Beliau memberitahu untuk 2016, RM360 juta disediakan untuk projek BELB melalui sistem grid manakala kira-kira RM200 juta diberikan bagi sistem alternatif.

Dalam perkembangan berkaitan, Awang Tengah berkata elektrik di Sarawak ialah 3,299MW dan kapasiti bekalan secara grid ialah 3,544MW.

“Sehingga 30 November 2015, sebanyak 532,505 daripada 586,000 isi rumah telah disambungkan dengan bekalan elektrik.

“Kerajaan negeri akan memperkukuhkan lagi sekuriti grid dan terus menambah baik bekalan tenaga menerusi projek utama Talian Transmisi 500kV yang sedang dilaksanakan dan dijadual siap pada 2016,” ujarnya.

Mengenai pembangunan infrastruktur telekomunikasi di Sarawak, beliau berkata ketika ini terdapat 124 menara telekomunikasi namun belum beroperasi.

Keadaan itu katanya, telah memberi masalah kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pemberi perkhidmatan membekalan liputan selular dan jalur lebar di negeri ini.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri telah meminta SKMM mengambil tindakan segera supaya kesemua menara telekomunikasi tersebut dapat beroperasi sepenuhnya.

“Apabila terlaksananya kesemua projek ini, kualiti dan kapasiti perkhidmatan jalur lebar di seluruh Sarawak khasnya luar bandar dijangka dapat dipertingkatkan.

“Kini, Sarawak menikmati 78.3 peratus kadar penembusan jalur lebar serta kadar penembusan langganan perkhidmatan selular melebihi 113 peratus.

“Setakat suku kedua 2015, kadar penembusan langganan perkhidmatan di kawasan berpendudukan adalah 85 peratus,” jelasnya.