Kementerian Pendidikan lulus 24 projek daripada 50 projek berjumlah RM965 juta

0

KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia telah meluluskan 24 projek daripada 50 projek yang berjumlah RM965 juta yang disenarai pendek sebagai projek mengikut keutamaan.

Menurut Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah, kesemua projek itu diluluskan untuk pelaksanaan pada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di bawah ‘Rolling Plan 1’.

“Manakala sebanyak 17 projek daripada 33 projek yang bernilai RM733 juta telah diluluskan dalam RMK10 tetapi belum dapat dilaksanakan dalam tempoh tersebut, namun akan diteruskan dalam tempoh RMK11 sebagai sambungan projek RMK10,” katanya.

Jelasnya, 24 projek yang diluluskan itu termasuk projek pembinaan lapan sekolah baharu (tiga sekolah menengah dan lima sekolah rendah), 13 projek gantian penuh (dua sekolah menengah dan 11 sekolah rendah), satu projek pembinaan tambahan dan naik taraf sekolah menengah dan dua projek gantian Pejabat Pendidikan Daerah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi KKWPK pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Fatimah yang juga ADUN Dalat berkata, kementeriannya telah menerbit Buku Panduan Asuhan Di Rumah khusus untuk panduan ibu bapa atau keluarga yang tidak menghantar anak-anak ke institusi berdaftar.

Katanya inisiatif penerbitan buku panduan itu adalah ekoran ramai kanak-kanak di bawah umur empat tahun dibesarkan di rumah oleh ibu bapa dan keluarga masing-masing.

“Buku Panduan Asuhan Di Rumah ini mengandungi komponen perkembangan awal kanak-kanak, asuhan, kesihatan, pemakanan, kebersihan dan keselamatan.

“Ia sesuai digunakan oleh ibu bapa atau penjaga yang membesarkan anak mereka sendiri di rumah selain memberi mereka (anak-anak) pendidikan awal sebagai persediaan mereka menghadapi sesi persekolahan pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu katanya, pengenalan kepada akses pendidikan awal kanak-kanak juga menumpukan penglibatan kumpulan sasaran secara menyeluruh termasuk di bandar dan di luar bandar.

“Selain usaha yang dijalankan oleh KEMAS, kementerian juga berusaha supaya kanak-kanak di pedalaman turut mendapat pendidikan awal.

“Sebagai contoh, Petronas menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) telah mengagihkan sejumlah RM2.75 juta untuk melaksanakan projek perintis selama lima tahun (2016-2020) bagi Program Pendidikan Komuniti (Penan) Kawasan Apoh/Tutoh, di Long Kawa, Long Karangan, Long Leng, Long Jenalong dan Ba’ Selulong.

“Kelas akan bermula pada bulan Januari 2016 untuk 72 kanak-kanak di tempat yang disediakan oleh komuniti sehinggalah bangunan siap dibina,” jelasnya.