Kerajaan tidak pernah membenarkan penubuhan sekolah Indonesia di Sarawak

0
PERJELAS ISU: Fatimah (kanan) bercakap kepada media mengenai CLC di Bilik Media, Kompleks DUN semalam.

PERJELAS ISU: Fatimah (kanan) bercakap kepada media mengenai CLC di Bilik Media, Kompleks DUN semalam.

KUCHING: Kerajaan tidak pernah membenarkan penubuhan sekolah Indonesia di Sarawak apatah lagi untuk membiayai sekolah tersebut, tegas Datuk Fatimah Abdullah.

Sebaliknya menurut Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga itu, kerajaan mempertimbang dan memberi kebenaran untuk penubuhan Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC).

Penubuhan CLC untuk anak-anak pekerja Indonesia di ladang-ladang ini katanya, adalah dengan syarat mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan.

Antara syarat penting, murid-murid hendaklah terdiri daripada anak-anak pekerja ladang Indonesia yang memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara yang sah di ladang-ladang di negeri ini, berumur 12 tahun ke bawah dan memiliki pas pelajar.

“Penubuhan CLC di ladang-ladang adalah dibiayai sepenuhnya oleh pihak syarikat perladangan dan Kerajaan Indonesia sendiri.

“Tetapi oleh kerana CLC ini ditubuhkan di ladang-ladang di negeri ini maka permohonan perlu dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum diwujudkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Media Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut mengenai CLC, Fatimah berkata setakat April 2015 sebanyak 17 CLC diwujudkan di ladang-ladang di seluruh negeri dengan sebuah daripadanya telah ditutup menjadikan bilangan pelajar seramai 914 orang.

Bagi mengelak kekeliruan mengenai penubuhan CLC, kementerian menerusi jabatan yang berkaitan akan memberi penjelasan kepada pihak ladang dan Kerajaan Indonesia mengenai CLC, jelasnya.

Garis panduan mengenai CLC yang terkini telah diluluskan pada November lalu hasil perbincangan bersama pelbagai pihak yang berkaitan dalam satu program bengkel.