Lima projek pembangunan fizikal baharu dilaksana JKM Sarawak dalam RMK11

0

KUCHING: Sebanyak lima projek pembangunan fizikal baharu di bawah peruntukan kerajaan negeri berjumlah RM56.4 juta akan dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Menurut Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah, projek berkenaan merangkumi pembinaan semula Rumah Seri Kenangan Kuching (Fasa 2), menaik taraf serta membaiki Pusat Pemulihan Samarahan, menaik taraf Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol di Sri Aman, membina semula Rumah Seri Kenangan Sibu dan membina Kompleks Kebajikan Dalat.

“Pihak kementerian menyedari betapa pentingnya penyelidikan dan pembangunan sebagai satu pendekatan bagi memantapkan mutu perkhidmatan yang dipertanggungjawabkan kepada kementerian ini.

“Dalam RMK-11, sebanyak RM6 juta telah diperuntukkan untuk menjalankan pelbagai kajian yang berkaitan dengan hal-hal pendidikan, pemerkasaan wanita dan ‘Productive Welfare’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi KKWPK pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Sementara itu, beliau juga menyentuh mengenai usaha kerajaan membasmi kemiskinan, di mana di bawah program 1Akhiri Zaman Miskin (1AZAM), seramai 34,357 ketua isi rumah (KIR) telah mendapat bantuan dan 7,481 iaitu 22 peratus daripada jumlah itu berjaya keluar daripada status miskin atau miskin tegar.

“Namun yang demikian, memandangkan peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk tujuan ini berkurangan, kerajaan negeri akan terus memantapkan usaha untuk membasmi kemiskinan dan membantu golongan yang memerlukan melalui pelbagai program yang dapat menjana dan meningkatkan pendapatan peserta program,” katanya.

Katanya antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, JKM Sarawak, Pebadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Unit Pembangunan Usahawan Industri Halal (UPUIH), Jabatan Ketua Menteri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan negeri telah bersetuju untuk menambah amaun bagi Bantuan Am (BA), Bantuan Kanak-Kanak (BKK) dan Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) Tidak Berupaya Bekerja (BTB) mulai tahun depan.

“Pertambahan bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada seramai 35,542 orang penerima.

“Selain daripada bentuk bantuan bulanan, kementerian turut melaksanakan program ‘Productive Welfare’ bagi golongan yang memerlukan.

“Program seumpama ini memberi fokus kepada latihan serta bimbingan yang lebih berkesan dan bersepadu bagi menghasilkan perubahan minda, pengupayaan diri dan meningkatkan pendapatan peserta ke arah kemandirian ekonomi,” jelasnya lanjut.

Tambahnya, dalam tempoh 2014 sehingga 2015, seramai 751 penerima bantuan telah mengikuti program itu dan 80 orang telah mencapai taraf berdikari dengan pendapatan minimum sebanyak RM1,200 setiap bulan.