Sarawak negeri menerima pelaburan kedua tertinggi

0

KUCHING: Sarawak muncul sebagai negeri yang menerima jumlah pelaburan kedua tertinggi di Malaysia iaitu RM11.8 bilion selepas Johor (RM30 bilion) mendahului Melaka (RM6.8 bilion) dan Selangor (RM5.6 bilion) setakat September tahun ini.

Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata pelaburan RM11.8 bilion itu merangkumi 18 projek yang telah diluluskan, terutama gas asli cecair (RM10.4 bilion), produk berasaskan logam (RM646.5 juta) dan produk elektronik dan elektrik (RM590 juta).

Sebagai tambahan katanya, Jawatankuasa Penyelaras Perindustrian Negeri (ICC) juga meluluskan 29 projek melibatkan pelaburan RM142.4 juta dari Januari hingga September 2015.

Projek-projek itu katanya, melibatkan pengeluaran produk kimia dan berasaskan kimia, peralatan pengangkutan dan produk berasas logam.

“Pelaburan RM11.8 bilion dijangka menjana kira-kira 1,400 peluang pekerjaan manakala pelaburan RM142.4 juta menjana sekitar 670 peluang pekerjaan di negeri ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Beliau memberitahu, di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) beberapa taman perindustrian baharu akan dibangunkan di bandar-bandar kecil di negeri ini seperti Lundu, Bau, Sebuyau, Sri Aman, Betong, Marudi dan bandar besar seperti Sibu.

Pembangunan taman perindustrian baharu itu katanya, bertujuan menyokong perkembangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di kawasan-kawasan tersebut.

“Kita menyasar sekurang-kurangnya satu taman perindustrian dibangunkan di setiap daerah terutama di bandar dalam kawasan luar bandar bagi menjana peluang pekerjaan serta aktiviti ekonomi.

“Ini sejajar dengan visi Ketua Menteri (Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem) untuk mempercepatkan pembangunan wilayah luar bandar di bawah dasar beliau iaitu ‘Go Rural’,” ujarnya.

Mengenai Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), Awang Tengah berkata kini ia memasuki tahun terakhir Fasa Pertama (2008-2015) pembangunan.

Sehingga semalam katanya, SCORE telah menarik pelaksanaan 20 projek bernilai RM30.60 bilion dalam bentuk pelaburan.

“Memandangkan SCORE memasuki Fasa 2, sasaran kerajaan negeri seterusnya ialah menarik pelabur melabur dalam industri hiliran dan nilai tambah, memanfaatkan produk pencetus industri dalam SCORE sebagai bahan mentah.

“Selain itu, turut mempromosikan industri pengeluaran hiliran dalam sektor bahan-bahan dan komponen bangunan, bahan-bahan pembinaan berat, produk tenaga diperbaharui dan peralatan pengangkutan, semua industri ini berpusat di Taman Perindustrian Samalaju,” jelasnya.

Kerajaan negeri juga katanya, membuka kawasan pedalaman SCORE untuk pembangunan seperti ekopelancongan, akuakultur, pertanian, penanaman semula hutan dan penternakan.