Jangan berselindung di sebalik masalah

0

JKKK perlu tangani isu agar tidak dieksploitasi pembangkang menjelang PRN: Harden

// Oleh Edwin Raoh //

SRI AMAN: Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis menasihatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) agar tidak berselindung di sebalik sesuatu masalah di kawasan masing-masing.

Menurutnya, ini kerana masalah itu boleh dieksploitasi pihak tertentu bagi tujuan politik ketika menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata, sekiranya ada isu pembangkang akan mempergunakannya untuk meraih sokongan politik daripada rakyat pada kempen PRN nanti.

“Justeru, jumpa wakil rakyat jika ada masalah dan bertindak mengemukakan aduan terhadap agensi-agensi kerajaan bagi masalah dihadapi dapat diselesaikan,” katanya pada Program Randau Bersama Pemimpin di Rumah Minton, Bayai B, di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu berkata, kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) giat melaksanakan pelbagai pembangunan di sini.

Katanya, Sri Aman kini giat membangun dengan beberapa projek pembangunan seperti hospital baharu, pelebaran jalan, penyediaan kemudahan bekalan elektrik dan sebagainya.

“Saya memohon kepada penduduk agar terus menyokong BN pada PRN nanti agar kita dapat menerajui kerajaan untuk tempoh lima tahun seterusnya bagi terus melaksanakan pembangunan di sini,” katanya.

Pada majlis itu, Harden mengumumkan peruntukan berjumlah RM5,000 kepada JKKK Rumah Ringgit, Ibol, Biro Wanita Rumah Minton B sejumlah RM3,000 dan RM3,000 untuk Rumah July, Wong Padong.