Maklumat bencana sentiasa disalur

0

KKR tubuh bilik gerakan banjir yang bersedia sepanjang waktu: Fadillah

// Oleh Mohd Shafik Ahmad //

KUCHING: Kementerian Kerja Raya (KKR) sentiasa bersiap siaga dalam menyalurkan maklumat kepada orang ramai sebagai persiapan menghadapi banjir.

Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihaknya telah menubuhkan bilik gerakan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang bersedia sepanjang waktu.

Persiapan awal itu turut membabitkan penyebaran maklumat berkenaan laluan jalan raya yang terjejas akibat bencana menerusi laman web dan media sosial.

“Kita juga ada menyalurkan maklumat tentang jalan terjejas melalui media sosial (KKR Malaysia) sama ada disebabkan banjir kilat, tanah runtuh atau jalan runtuh.

“Perkara itu sentiasa disebarkan kepada orang ramai supaya mereka tahu sama ada jalan itu dapat dilalui kenderaan atau tidak,” katanya.

Fadillah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Larian Satok 2015 di Jalan Muhibbah di sini, semalam.

Mengulas lanjut, pihak KKR juga mengemas kini informasi berkenaan setiap masa sekiranya terdapat perubahan termasuk penyebaran maklumat berhubung jalan alternatif yang dapat digunakan.

“Ia sememangnya prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai oleh kami, bagaimanapun setakat ini tidak banyak jalan ditutup.

“Namun masih terdapat beberapa penutupan jalan lain disebabkan banjir kilat dan jalan runtuh, tetapi hanya sementara waktu dan akan dibuka semula kepada pengguna kelak,” katanya.

Fadillah berkata pihak kementerian sudahpun mengarahkan jurutera daerah di kawasan masing-masing bersedia untuk melaksanakan SOP sedia ada sebagai persiapan menghadapi banjir.

Hadir sama, Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Satok, Iskandar Sharkawi.

Lebih 130 orang menyertai larian yang terbahagi kepada empat kategori itu sejak dimulakan jam 8 pagi.