Bukan janji kosong

0
BERSAMA RAKYAT: Adenan (tengah) dan Jamilah disambut meriah sejurus tiba pada majlis itu.

BERSAMA RAKYAT: Adenan (tengah) dan Jamilah disambut meriah sejurus tiba pada majlis itu.

Adenan umum RM5 juta baiki jalan raya di kawasan DUN Semop.

Oleh Borhaniza Ali Basah //

PULAU BRUIT: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengumumkan peruntukan RM5 juta untuk memperbaiki kemudahan jalan raya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop.

Beliau mengumumkan peruntukan itu semasa menyempurnakan program Hari Keusahawanan Desa Pulau Bruit 2015 di Padang Sekolah Lama, Kampung Semop di sini, semalam.

“Peruntukan ini saya serahkan kepada majlis daerah untuk dipertanggungjawabkan bagi membina jalan raya berkenaan,” ujarnya pada majlis yang dihadiri isteri beliau Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Abdullah Saidol dan ADUN Jamoreng Abu Seman Jahwie.

Adenan menegaskan, semua projek yang pernah beliau umumkan bakal dilaksana, bukan janji kosong.

Katanya, projek-projek Jambatan Sibuti, Long Lama, pengurangan tambang feri, penurunan tarif elektrik dan penghapusan tol di jambatan Baram dan Lanang merupakan antara pengumuman beliau yang sudah dilaksanakan.

Beliau turut menjelaskan, peruntukan RM500 juta untuk Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang dipohon pada persidangan DUN lalu merupakan salah satu cara mendapatkan dana bagi menunaikan janji-janji itu.

Namun demikian, katanya, berlaku beberapa kelewatan dalam pelaksanaan sesetengah projek di negeri ini disebabkan beberapa masalah, antaranya kegagalan pihak kontraktor menyiapkan projek.

“Ini bukan salah wakil rakyat, tetapi salah kontraktor yang tidak mengambil berat tanggungjawab mereka. Saya telah memberi arahan, mana-mana kontraktor mengabaikan kerja mereka, batalkan kontrak mereka.

“Peluang akan diberi, tetapi jika masih lagi berulang perkara yang sama, kita akan beri kontrak itu kepada kontraktor lain yang layak,” tegasnya.

Terdahulu, Abdullah dalam ucapannya berkata penduduk Pulau Bruit dan persisir pantai amnya menghadapi kekangan untuk menambah baik sosioekonomi kerana masih kekurangan infrastruktur asas.

Justeru, beliau berharap Ketua Menteri dapat memberi perhatian lebih kepada penduduk di kawasan tersebut.

“Rakan belia di kawasan ini berminat dengan bidang keusahawan dan banyak hasil desa boleh dipasar. Bagaimanapun, menjadi halangan adalah sistem perhubungan jalan tidak lengkap maka usaha menaikkan sosioekonomi menjadi agak sukar.

“Membawa hasil laut dan tani ini untuk dipasar ke pasaran terdekat agak mahal. Justeru, mereka menjadi mangsa orang tengah yang tidak bertanggungjawab,” katanya merangkap Ketua Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri.

Sementara itu, pelbagai aktiviti diadakan sempena program berkenaan seperti seminar keusahawanan, pameran, pertandingan mewarna dan pertunjukan layang-layang.

Program ini antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada usahawan desa di kawasan tersebut mengenai peluang disedia kerajaan untuk menambah kemahiran melalui kursus atau peluang mengembang perniagaan menerusi pinjaman termasuk dana perniagaan yang ditawar pelbagai agensi.