Wartawan Utusan Borneo rangkul empat anugerah pada KJA 2015

0
HARAPAN: Siti Aisyah menerima hadiah daripada Pengurus Besar Operasi dan Penyelenggaraan Sarawak Hidro Sdn Bhd, Annuar Abu Bakar.

HARAPAN: Siti Aisyah menerima hadiah daripada Pengurus Besar Operasi dan Penyelenggaraan Sarawak Hidro Sdn Bhd, Annuar Abu Bakar.

KUCHING: Wartawan Utusan Borneo merangkul empat daripada anugerah yang dipertandingkan pada Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) 2015 bagi kategori Bahasa Malaysia.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam kelmarin, KJA 2015 menyaksikan sebanyak sembilan anugerah dipertandingkan bagi menghargai pengamal media di negeri ini.

Wartawan muda Utusan Borneo, Siti Aisyah Ramli dipilih sebagai Pemberita Paling Menyerlah 2015 dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000 berserta sijil.

Tiga lagi wartawan berpengalaman Utusan Borneo masing-masing memenangi anugerah bagi Penulisan Berita Alam Sekitar, Penulisan Berita Ekonomi dan Perniagaan dan Penulisan Berita Kesihatan.

Anugerah Penulisan Berita Alam Sekitar dimenangi oleh Steve Annuar menerusi artikelnya yang bertajuk ‘Hasilkan sabun minyak masak untuk kurangkan pencemaran sungai.’

Manakala, Patricia Gari@Lawrence Bago memenangi Anugerah Penulisan Berita Ekonomi dan Perniagaan menerusi artikel bertajuk ‘GST: Pahit dan manis akhirnya.’

Nick Fletcher Neha pula memenangi Anugerah Penulisan Berita Kesihatan menerusi artikelnya yang bertajuk ‘Lebih 18,000 pesakit tunggu pemindahan organ.’

Sementara itu, wartawan dari The Borneo Post mendominasi anugerah kali ini bagi kategori Bahasa Inggeris.

Anugerah Kewartawanan yang menawarkan hadiah wang tunai RM5,000 berserta sijil dimenangi oleh Phyllis Wong menerusi artikel bertajuk ‘Crossing Culture, Touching Hearts.’

Anugerah baharu diperkenalkan tahun ini iaitu Anugerah Penulisan Berita Pembangunan Luar Bandar turut dirangkul oleh The Borneo Post menerusi Phyllis Wong, Peter Sibon, Cheng Liang Hiok, Jonathan Chia dan Christopher Lau.

Anugerah lain termasuk Penulisan Berita Alam Sekitar (Raymond Tan), Penulisan Berita Ekonomi dan Perniagaan (Lim Kah Wah), Penulisan Berita (Peter Sibon) dan Penulisan Berita Sukan (Mohamad Ghaz Ghazali).

Bagi kategori Bahasa Mandarin pula, sebuah lagi akhbar Kumpulan See Hua iaitu See Hua Daily News tidak pulang dengan tangan kosong.

Tiga wartawan See Hua Daily News iaitu Lau Sie Heng dan Chong Suk Chin masing-masing memenangi anugerah Penulisan Berita Pembangunan Luar Bandar dan Penulisan Berita Ekonomi dan Perniagaan.

Manakala anugerah bagi Penulisan Berita Kesihatan dimenangi secara berkumpulan menerusi Ting Ngok Ding, Theng Moh Swee, Ling King She, Yek Choo Eng dan Tiong Liu Chuo.