RM42 juta untuk menaik taraf Jalan Tudan

0
TINJAU PROJEK: Lee (lima kanan) berpuas hati dengan perkembangan terkini kerja menaik taraf Jalan Tudan di Miri, semalam.

TINJAU PROJEK: Lee (lima kanan) berpuas hati dengan perkembangan terkini kerja menaik taraf Jalan Tudan di Miri, semalam.

Kerja menaik taraf kepada empat lorong dilaksana seawal-awalnya Januari tahun depan, kata Lee

Oleh Mohd Norhadie Sahari //

MIRI: Kerja menaik taraf Jalan Tudan kepada empat lorong menelan belanja kira-kira RM42 juta mula dilaksana seawal-awalnya Januari tahun depan.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin yang melawat tapak projek itu berpuas hati dengan perkembangan terkini termasuk menyelesaikan pertindihan paip dalam tanah milik syarikat kemudahan asas.

“Kita menjangka projek ini akan mula dilaksana pada Januari depan dan ia memakan masa selama dua tahun untuk disiapkan.

“Kita berharap jalan baharu ini dapat menyelesaikan masalah kesesakan trafik,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, projek menaik taraf jalan dua lorong kepada empat lorong sejauh 3.5 kilometer itu antara projek dinanti-nanti penduduk kawasan Tudan dan sekitarnya.

“Jalan ini akan memiliki satu bulatan manakala jalan setiap lorong dilebarkan bagi memberi keselesaan kepada orang awam yang sebelum ini asyik merungut kesesakan teruk pada waktu puncak,” katanya.

Menurutnya, semua agensi berkaitan kemudahan asas itu hadir bagi menjelaskan perkembangan terkini projek berkenaan yang telah mendapat keluluskan kerajaan negeri.

Setiap hari jalan itu terlalu sesak terutama pada jam 6 hingga 8 pagi, jam 12 tengah hari hingga 2 petang dan dari jam 5 petang hingga jam 7 malam.

Jalan tersebut mempunyai dua lorong yang sempit dan keadaan bertambah buruk setiap kali berlaku kemalangan.

Turut hadir wakil-wakil Syarikat SESCO Berhad, Lembaga Air Kawasan Utara, Syarikat Telekom Malaysia, Syarikat Sarawak Gas dan SACOFA.