Penghantar surat mengaku tidak bersalah lakukan khianat bakar kereta

0
DIBICARAKAN: Budiman (tengah) yang melakukan perbuatan khianat hingga menyebabkan enam kereta terbakar di tempat letak kereta berdekatan stesen transit aliran ringan LRT Taman Jaya, hadir di Mahkamah Majistret Petaling Jaya di ibu negara semalam. — Gambar Bernama

DIBICARAKAN: Budiman (tengah) yang melakukan perbuatan khianat hingga menyebabkan enam kereta terbakar di tempat letak kereta berdekatan stesen transit aliran ringan LRT Taman Jaya, hadir di Mahkamah Majistret Petaling Jaya di ibu negara semalam. — Gambar Bernama

PETALING JAYA: Seorang penghantar surat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan melakukan khianat menggunakan bahan api sehingga menyebabkan kebakaran enam kenderaan di tempat letak kereta berhampiran Stesen LRT Taman Jaya, Isnin lalu.

Budiman Shah Baharudin, 26, didakwa melakukan khianat menggunakan petrol dalam botol mineral dengan cara membalingnya ke arah kereta jenis Proton Wira milik Muhammad Nor Fikri Razali, 20, sehingga menyebabkan kebakaran lima kenderaan lain iaitu Proton Gen 2, Toyota Vios, Honda City, Suzuki Swift dan Proton Saga FLX.

Tindakan tertuduh itu juga menyebabkan kebakaran harta awam iaitu laluan berbumbung sepanjang 30 meter, papan agihan elektrik, tiang konkrit, lantai konkrit, papan iklan dan sebatang tiang lampu trafik yang keseluruhannya bernilai RM449,600.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Persiaran Barat di sini antara jam 12.50 tengah hari dan jam 1.15 petang, 21 Dis lalu.

Tertuduh yang memakai baju T berwarna krim didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim tidak menawarkan sebarang wang jaminan, namun peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai kebarangkalian untuk melarikan diri.

“Dalam kes ini tertuduh tinggal bersama penjamin (iaitu ibunya), penjamin boleh memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah, tidak ada sebab untuk tertuduh melarikan diri.

“Selain itu tertuduh yang sudah berkahwin dan bekerja sebagai penghantar surat itu hanya berpendapatan RM800 sebulan dan perlu menanggung kedua-dua ibu bapanya,” katanya sambil menambah tertuduh bersedia menerima sebarang syarat tambahan yang diperintahkan mahkamah sekiranya perlu.

Hakim Manira Mohd Nor membenarkan tertuduh yang ditangkap pada hari kejadian itu diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Jan untuk sebutan semula kes.

Isnin lepas, masyarakat termasuk netizen di laman sosial digemparkan dengan insiden kebakaran enam kenderaan. — Bernama