Cukai MBKS minimum mutu perkhidmatan maksimum

1

TA02137Cukai taksiran perlu untuk sedia lampu jalan, selenggara jalan, pembersihan dan sebagainya, kata Chan

Oleh Patricia Gari //

KUCHING:  Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mengenakan kadar cukai taksiran serta yuran lain pada tahap yang minimum dengan mutu perkhidmatan maksimum.

Datuk Bandar MBKS Datuk James Chan berkata cukai taksiran perlu dikenakan kerana MBKS seperti juga pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di negeri ini perlu menyediakan kemudahan kepada penduduk diwakili seperti lampu jalan, penyelenggaraan jalan, pembersihan dan sebagainya.

“Saya merasakan idea mengecualikan bayar cukai taksiran atau mana-mana cukai adalah suatu yang tidak praktikal… adalah tidak praktikal mengadakan ia percuma.

“Tiada apa yang percuma di dunia ini tetapi bagi Kuching khasnya dan Sarawak amnya kerajaan negeri sangat bagus, banyak yang percuma kalau ada bayaran pun ia dikenakan pada kadar minimum,” katanya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai keputusan Kerajaan Selangor untuk mengecualikan cukai taksiran berkuat kuasa Januari tahun depan.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali ketika membentangkan Bajet Negeri Selangor 2016 baru-baru ini, berkata pengecualian itu bakal dinikmati pemilik rumah kos rendah, rumah kampung, kampung baharu dan kampung nelayan yang dilihat semakin terbeban dengan keadaan ekonomi negara terutama selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sejak 1 April lalu.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu Chan berkata cukai taksiran dan yuran dikenakan MBKS jauh lebih murah berbanding kos operasi serta penyelenggaraan yang terpaksa ditanggungnya.

Beliau juga percaya situasi sama turut berlaku pada PBT lain di negeri Sarawak.

“Jika kamu tidak perlu membayar sesen pun, semuanya percuma, saya tahu sebagai manusia biasa, kita sudah tentu sangat gembira dan berasa lega tetapu dalam dunia sekarang, kita mesti praktikal, semuanya perlu dibayar.

“Di negara-negara Eropah, cukai taman turut dikenakan sedangkan di sini adalah percuma,” katanya sambil menambah, Kerajaan Selangor mungkin mempunyai alasan tersendiri untuk melaksanakan polisi tersebut.

“Saya tidak tahu bagaimana Selangor akan melaksanakan polisi baharu itu, biarlah mereka melaksanakannya, jika mereka berjaya, mungkin kita boleh belajar daripada mereka.

“Bagi MBKS khasnya, ketelusan itu lebih penting, saya tidak akan bercakap mengenai perkara lain, itu cara kita.

“Paling penting setiap yang dilakukan oleh MBKS adalah untuk manfaat rakyat,” ujarnya.