Lelaki mengaku bersalah rogol anak buah ketahui nasib pada 27 Jan depan

0

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 30 tahun yang didakwa atas dua pertuduhan rogol terhadap anak buah perempuannya berusia 14 tahun, akan mengetahui nasibnya pada 27 Januari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen, Ainul Sharin Mohamad menetapkan tarikh itu selepas tertuduh memohon khidmat peguam bela.

Sementara itu, Timbalan Pendakwaraya Akmalzatul Mohamed Nawi memohon mahkamah supaya tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan tiada tawaran jaminan bagi kes terbabit.

Tambah Akmalzatul, tertuduh berkemungkinan akan mengganggu mangsa memandangkan kedua-duanya mempunyai kaitan persaudaraan.

Bagaimanapun, tertuduh memohon jaminan minimum dengan alasan kejadian itu berlaku atas dasar suka sama suka.

Untuk itu, mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM10,000 dan dicagarkan penjamin tempatan selain memerintahkan tertuduh melaporkan diri pada hari pertama setiap bulan di balai polis berdekatan.

Terdahulu, tertuduh mengaku bersalah merogol seorang gadis remaja di sebuah kampung di Papar dalam dua kejadian berasingan iaitu antara bulan September dan Disember tahun ini.

Pada pertuduhan pertama, tertuduh mengaku merogol anak buahnya pada pertengahan September antara jam 1 hingga 2 petang.

Manakala pertuduhan kedua dia mengaku bersalah melakukan kesalahan sama pada 23 Disember pada jam 9 malam.

Untuk itu, dia didakwa mengikut Seksyen 375 (g) /376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah sama nasib seorang nelayan yang didakwa menyebabkan kematian isterinya akan diketahui pada 27 Januari 2016.

Ainul menetapkan tarikh itu terhadap Ridwan Hawil, 31, selepas tertuduh memohon untuk melantik peguam bela bagi kes terbabit.

Akmalzatul bagaimanapun menggesa mahkamah supaya meneruskan kes itu memandangkan Ridwan telah diberikan banyak peluang untuk mendapatkan peguam sebelum itu.

Tambahnya, tertuduh juga telah pun mengaku bersalah dan pengakuan itu boleh diterima.

Namun demikian, mahkamah mengatakan Ridwan masih mempunyai hak untuk mendapatkan peguam dan menentukan tarikh untuk fakta serta jatuh hukum.

Terdahulu, Ridwan didakwa menyebabkan kematian isterinya pada 11 Januari tahun ini, kira-kira jam 1.30 pagi di sebuah rumah tidak bernombor di Pulau Gaya.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 30 tahun, dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.