Empat perompak ditembak mati polis di Bintulu

0

KUCHING: Empat perompak ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis di kilometer 42 Jalan Bintulu-Miri awal pagi tadi.

Suspek yang dipercayai terbabit dengan 28 kes rompak bersenjata di negeri ini sepanjang 2015, terdahulu dilihat dalam keadaan mencurigakan dengan menaiki sebuah kereta Toyota Vios iaitu kira-kira pada jam 1 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata ekoran itu, berlaku kejar mengejar sebelum kenderaan yang dinaiki suspek terbabas beberapa kilometer dari Ladang Maskat.

“Suspek telah melepaskan beberapa das tembakan ketika anggota kita cuba menghampiri kenderaan tersebut memaksa polis melepaskan tembakan ke arah mereka.

“Dua lagi suspek kemudian dilihat keluar dari kenderaan dan terus melarikan diri ke ladang sawit berdekatan.

“Bagaimanapun, anggota kita berjaya menjejaki mereka dan tembakan terpaksa dilepaskan apabila dua suspek terbabit cuba menyerang anggota menggunakan parang dan sabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Kedua-dua suspek terbabit disahkan meninggal dunia dan pemeriksaan ke atas kenderaan Vios tersebut juga menemui dua lagi mayat suspek yang terbunuh ketika berbalas tembakan dengan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui laman Twitter beliau sebentar tadi turut merakamkan penghargaan kepada IPK Sarawak di atas kejayaan berkenaan.