Empat ditembak mati

0

Oleh Jeremy Lanson//

TERBABAS:Keadaan kereta yang dinaiki suspek selepas insiden tembak-menembak semalam.

TERBABAS:Keadaan kereta yang dinaiki suspek selepas insiden tembak-menembak semalam.

KUCHING: Polis percaya berjaya menyelesai 10 kes samun dan rompak berkumpulan dengan kematian empat suspek yang ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis di Kilometer 42 Jalan Bintulu-Miri awal pagi semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata, keempat-empat suspek terbabit dipercayai warga asing terdahulu dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika menaiki sebuah kereta Toyota Vios di Jalan Tun Hussein Onn, Bintulu iaitu kira-kira jam 1 pagi.

Ekoran itu, berlaku kejar-mengejar antara sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Jenayah Berat(D9) IPK Sarawak sehingga kenderaan dinaiki suspek terbabas di bahu jalan tidak jauh dari Ladang Maskat.

“Suspek melepaskan beberapa das tembakan ketika polis cuba menghampiri kenderaan tersebut. Situasi ini memaksa polis melepaskan tembakan ke arah mereka.

“Dua lagi suspek kemudian dilihat keluar dari kenderaan dan terus melarikan diri ke dalam ladang sawit berdekatan.

“Bagaimanapun, anggota kita berjaya menjejaki mereka dan tembakan terpaksa dilepas apabila dua suspek terbabit menyerang anggota menggunakan parang dan sabit,” kata Sabtu menerusi kenyataan akhbarnya semalam.

Kedua-dua suspek terbabit disah meninggal dunia dan pemeriksaan pada kereta Vios juga menemui dua lagi mayat suspek terbunuh ketika berbalas tembakan.

“Turut ditemui di dalam kereta tersebut ialah selaras senapang patah, parang, perkakas dipercayai digunakan untuk pecah masuk rumah serta beberapa jenis jam tangan berjenama,” katanya.

Menurutnya juga, tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada keempat-empat suspek.

Pasukan D9 IPK Sarawak diketuai Superintenden Zulfikar dan Superintenden Sarifuddin tiba di Bintulu untuk menjalankan siasatan berhubung laporan kes rompakan bersenjata.

Difahamkan juga, sebanyak 28 kes rompakan bersenjata dilaporkan pada tahun lepas membabitkan empat hingga lima suspek bertopeng dan dianggarkan mencatatkan kerugian mencecah RM1 juta.

“Kita percaya empat suspek ini terlibat dengan tiga kes rompakan di Bintulu pada Disember lepas, di mana yang terbaru dilaporkan pada 29 Disember baru-baru ini.

“Selain itu, terdapat maklumat mengatakan kumpulan yang sama juga terlibat beberapa kes di Miri dan Sibu sekitar tahun lepas,” katanya lagi.

Pemeriksaan lanjut ke atas kereta Vios tersebut juga didapati merupakan kereta curi yang telah dilaporkan hilang di Bintulu pada Julai tahun lepas.