Bangunkan pertanian di tanah tinggi Sarawak

0

Oleh Agnes Tugong//

TERTARIK: Jabu (tiga kiri) melihat produk berasaskan bio yang dipamerkan pada Hari Bioekonomi di Kuching semalam. Turut kelihatan Nazlee (kiri), Madius (dua kiri), Nansian (kanan) serta lain-lain.

TERTARIK: Jabu (tiga kiri) melihat produk berasaskan bio yang dipamerkan pada Hari Bioekonomi di Kuching semalam. Turut kelihatan Nazlee (kiri), Madius (dua kiri), Nansian (kanan) serta lain-lain.

KUCHING: Kawasan tanah tinggi di negeri ini perlu dibangun bagi tujuan pertanian bagi menjamin bekalan sayur-sayuran mencukupi dalam negeri dan negara ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata pengeluaran sayur-sayuran negara dilihat semakin berkurangan.

Ia berpunca daripada dua kawasan pertanian negara iaitu Cameron Highlands, Pahang dan Kundasang, Sabah yang terjejas berikutan bencana alam telah memusnahkan hasil pertanian.

“Saya akan berbincang dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengenai perkara ini.

“Apa yang dikhuatiri ialah kita mungkin terpaksa bergantung kepada tanaman import jika kita tidak membangunkan kawasan tanah tinggi kita bagi tujuan ini.

“Apatah lagi keadaan tanah di Cameron dan Kundasang yang tidak lagi stabil untuk aktiviti pertanian.

“Hasil tanaman di dua kawasan ini tidak lagi mencukupi untuk penggunaan dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Bioekonomi anjuran Perbadanan Bioteknologi Malaysia di salah sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Tambah Jabu, selain pembangunan tanaman seperti sayur-sayuran, kerajaan pusat turut mengenal pasti tiga lagi bidang berkaitan industri berasaskan tani di negeri ini boleh berpotensi untuk dibangunkan.

“Ia meliputi pembangunan ikan terubuk, ikan empurau serta udang galah dan ketam banyak sepanjang kawasan perairan di negeri ini,” katanya.

Mengulas mengenai majlis itu, Ketua Menteri dalam teks ucapannya diwakili Jabu berharap Hari Bioekonomi ini akan menerokai sumber bio yang berpotensi besar untuk pertumbuhan bioekonomi di negeri ini.

“Sarawak mempunyai sumber semulajadi melimpah ruah yang berpotensi besar untuk pertumbuhan bioekonomi.

“Untuk memaksimumkan potensi ini, BiotechCorp, RECODA dan Pusat Biodiversiti Sarawak telah membentuk kerjasama kukuh dalam membangunkan industri berasaskan bio di negeri ini.

“Kerjasama ini telah memungkinkan banyak projek berasaskan bio dikenal pasti bagi Program Transformasi Bioekonomi (BTP) dan Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi (BCDP),” kata Adenan.

Dalam pada itu ketika ini, terdapat lima syarikat status BioNexus beroperasi di Sarawak dengan bidang utama dalam bioteknologi marin dan akuakultur, bioteknologi tanaman, bioteknologi ternakan hidup, bioremediation, biomedical dan specialty chemicals.

Dengan penubuhan lebih banyak syarikat status BioNexus di Sarawak, sektor swasta boleh memanfaatkan kemudahan dan infrastruktur sedia ada untuk memanfaatkan kluster berasakan bio di Sarawak.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Madius Tangau dan Timbalannya Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, Menteri Muda Pembangunan Komuniti dan Pembangunan Perindustrian Datuk Peter Nansian Ngusie, Ketua Pegawai Eksekutif BiotechCorp Dato Dr Mohd Nazlee Kamal serta lain-lain.