Friday, October 18

Jalan raya licin punca kereta wanita terbabas

0
TERBABAS: Kelihatan anggota bomba sedang melihat keadaan kereta Saga yang terbabas di Jalan Wan Alwi.

TERBABAS: Kelihatan anggota bomba sedang melihat
keadaan kereta Saga yang terbabas di Jalan Wan Alwi.

KUCHING: Ekoran keadaan permukaan jalan raya yang licin menyebabkan sebuah kereta dipandu seorang wanita terbabas di Jalan Wan Alwi, di sini semalam.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya menerima laporan kejadian sekitar jam 9.50 pagi dan seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya dikerahkan ke tempat kejadian.

Difahamkan, setiba di tempat kejadian mendapati sebuah Proton Saga mengalami kemalangan kendiri dan terbabas ke pembahagi jalan raya.

“Bagaimanapun, mangsa seorang wanita hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke sebuah hospital swasta oleh orang awam yang melihat kejadian tersebut.

“Punca kemalangan dipercayai ekoran keadaan jalan raya licin disebabkan hujan lebat diwaktu pagi,” katanya.

Sementara dalam kejadian berasingan, dua adik beradik nyaris maut apabila kereta Kancil dinaiki mereka merempuh belakang sebuah van di Jalan Batu Kawah, di sini semalam.

Menurut sumber, semasa kejadian adik beradik terbabit dalam perjalanan pulang apabila kereta dipandu si kakak hilang kawalan lalu merempuh belakang van tersebut iaitu sekitar jam 1 petang.

Impak pelanggaran menyebabkan si adik duduk di bahagian penumpang hadapan dikhutiri patah tulang kaki, manakala kakak hanya mengalami kecederaan ringan.

Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh pihak ambulans untuk rawatan lanjut.