Projek akuakultur di bawah BCDP berpotensi dibangun di Sarawak

0

KUCHING: Projek akuakultur antara berpotensi untuk dibangun di Sarawak di bawah Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi (BCDP).

BCDP merupakan projek melibatkan petani dan peneroka luar bandar bagi mengusaha bahan mentah berpotensi sebagai input bagi syarikat status BioNexus dan syarikat milik Program Transformasi Bioekonomi (BTP).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Biotechnology Malaysia Sdn Bhd (BiotechCorp), Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal berkata, salah satu sumber berpotensi bagi projek BCDP di Sarawak dalam bidang akuakultur ialah ketam dan udang galah.

“Sarawak mempunyai perairan sangat panjang untuk sumber ketam selain udang galah kerana teknologi telah dibangun bagi dua sumber akuakultur di Sarawak bersama komuniti di luar bandar.

“Selain itu, kami mengenal pasti projek madu lebah berpotensi untuk BCDP di Sarawak. Kita akan membangunkan teknologi dan inovasi memodenkan cara pengumpulan dan pemprosesan madu kalangan komuniti,” katanya.

Nazlee berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Hari Bioekonomi oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu mewakili Ketua Menteri di sini semalam.

Projek BCDP berpotensi lain di Sarawak termasuklah herba dimana pihaknya akan bekerjasama dengan komuniti tempatan untuk mengenalpasti tumbuhan dalam hutan selain dabai dan yang berpotensi untuk perniagaan sampingan.

Terdahulu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Madius Tangau dalam ucapannya berkata sumbangan bioekonomi dijangka melonjak tinggi pada tahun akan datang dan beliau percaya negara bergerak ke arah tepat dalam bidang ini.

“Inisiatif BCDP dan BTP adalah selari dengan teras Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan MOSTI serta BiotechCorp memain peranan penting dalam memacu inisiatif ini untuk mentransformasi Malaysia ke negara berpendapatan tinggi.

“Ini boleh dicapai melalui kerjasama antara sektor awam dan swasta di Sarawak terutama menerusi projek BCDP yang akan membantu memperbaiki mobiliti sosial dan meningkatkan pendapatan komuniti,” katanya.

Tambah Madius, meskipun ekonomi Sarawak telah tumbuh mapan namun inisiatif baharu diperlu untuk mempelbagai ekonomi negeri dan menyedia nilai tambahan dalam semua sektor.

Bagi tujuan itu, pelaksanaan BTP dan BCDP di Sarawak boleh dipercepat proses ini oleh kerana negeri mampu berganjak dari ekonomi berasaskan komoditi.

“Kita perlu mempergiatkan usaha kita bagi memastikan bioekonomi memainkan peranan signifikan dalam memangkin ekonomi Sarawak.

“Bioekonomi menawar pasaran dan peluang baharu untuk pertumbuhan dan dengan sumber semulajadi terbentang luas Sarawak berada di kedudukan tepat membangunkan bioekonomi,” tambahnya.

Sempena majlis itu semalam, turut diadakan pelancaran Laporan Tahunan BiotechCorp dan BTP serta pertukaran dokumen antara Ranser Bio-Tech Berhad dan Casabrina Vacation Villas Sdn Bhd.

Turut diumumkan sumbangan sistem rawatan air kepada Kampung Uma Juman, Bintulu oleh Ronser Bio-Tech Berhad sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat.