Takkan ada kerjasama politik PAS-UMNO: Mustafa

0

Seiring keputusan Majlis Syura Ulama PAS sebelum ini

KUALA LUMPUR: PAS semalam menegaskan tiada kerjasama politik yang akan dijalin dengan UMNO sekalipun pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali berkata ketetapan itu seiring keputusan Majlis Syura Ulama PAS sebelum ini bahawa tiada kerjasama melibatkan aspek politik dengan UMNO.

“Hingga pilihan raya akan datang, takkan ada kerjasama politik dengan UMNO,” katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat mengenai perkara itu di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad di Taman Melewar, di sini.

Majlis taklimat itu turut dihadiri Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din dan pimpinan tertinggi PAS lain.

Abdul Hadi yang meninggalkan majlis berkenaan pada jam 12.15 tengah hari bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya mengenai sambutan peserta yang terdiri daripada kira-kira 200 pimpinan PAS pusat dan negeri.

Isu kerjasama antara PAS dan UMNO kembali diperkatakan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyentuh hal itu dalam ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Najib menghulurkan ‘tali silaturahim’ kepada PAS untuk bersama-sama membina dan membangunkan negara mengikut syariat Islam sebenar.

Najib sekali lagi menyatakan hasratnya itu di hadapan Abdul Hadi ketika kedua-duanya berkongsi pentas di Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar hujung bulan lalu. — Bernama