Program Bakti RELA Daerah Sri Aman bantu tiga keluarga miskin

0

SRI AMAN: Masalah kebajikan ditanggung tiga keluarga dari Kampung Bakong, Lingga menjadi perhatian Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Sri Aman.

Ini terbukti apabila RELA Daerah Sri Aman melancarkan Program Bakti RELA membantu mengurangkan beban keluarga orang kurang upaya (OKU), warga emas dan ibu tunggal di kampung terbabit.

Pegawai RELA Daerah Sri Aman Muhammad Hafiz Azizi berkata program itu merupakan aktiviti membantu penduduk dilanda masalah kebajikan.

“Program Bakti RELA ini juga dapat dijadikan landasan anggota melakukan aktiviti kebajikan di samping menunaikan tanggungjawab sukarelawan kepada komuniti di negeri ini,” katanya di sini, semalam.

Pihaknya berharap program itu dapat menceriakan tiga keluarga terbabit dan seterusnya memanfaatkan bantuan diterima daripada RELA Daerah Sri Aman dengan sebaik mungkin.

Menurutnya, menerusi program itu RELA Daerah Sri Aman menyampaikan barang keperluan dapur dan wang bagi mengurangkan beban ditanggung tiga keluarga terbabit.

Turut hadir Penolong Pegawai RELA Daerah Sri Aman Joshua Ijau.